Huaying Finja 500 2021 versi mampu milik Kawasaki Ninja ZX-10R, harga jualan sekitar RM 16k di pasaran China

Sekitar bulan September 2020 yang lepas, dunia permotoran telah dikejutkan dengan kemunculan sebuah model motosikal terbaharu mirip Kawasaki Ninja ZX-10R. Model tersebut ketika itu lebih dikenali dengan nama Finja 500, dan kini lebih banyak informasi mengenainya muncul di dalam internet terutamanya dari negara asalnya China.

Berdasarkan alih bahasa menggunakan Google Translate, nama model tersebut ialah Huaying 500, atau lebih popular dengan panggilan Huaying Finja 500. Ianya dikuasakan enjin bersesaran 500cc (In-line twin-cylinder four-stroke, water-cooled), dengan kuasa maksimum 36.7PS dan tork maksimum 34Nm. Kapasiti tangki petrolnya ialah 18 liter.

Ketinggian tempat duduknya berada pada paras 800 mm, dengan berat mencapai 225 kg (curb weight). Sistem breknya dilengkapi dengan ABS. Keseluruhannya, spesifikasi Huaying Finja 500 2021 ini boleh dikatakan agak impresif, memandangkan harga jualannya dikatakan sebanyak 26,800 Yuan sahaja, bersamaan hanya RM 16,688.80.

Sumber : jddmoto.com & MOMO Motorbike FB