Honda Africa Twin buatan China ini dilengkapi enjin 500cc, dua tangki petrol dan kelengkapan kamera depan belakang

Model kembara Honda Africa Twin 2021 diperkenalkan pada penghujung tahun yang lepas, dan dikuasakan enjin bersesaran 1,084cc (SOHC Liquid-cooled 4-stroke 8-valve Parallel Twin with 270° crank and Uni-cam) yang kini bertaraf Euro 5, dengan hamburan kuasanya mencapai 100.5hp @ 7,500rpm dengan tork puncak 105Nm @ 6,250rpm.

Bagaimanapun tidak semua mampu untuk memiliki model tersebut kerana harganya yang tinggi. Di pasaran Malaysia misalnya, Honda Africa Twin sebelum ini ditawarkan pada harga dalam lingkungan antara RM 76k sehingga RM 86k. Melihat harga di dalam laman jual beli Mudah.my pula adalah jauh lebih tinggi, sekitar RM 100k ke atas.

Bagaimanapun untuk pasaran China, terdapat model terbaharu Honda Africa Twin yang harganya pasti jauh lebih murah. Model tersebut dilengkapi enjin bersesaran 500cc, dan tampil dengan reka bentuk yang hampir sama dengan model asli Honda Africa Twin. Paling menarik ialah ianya dilengkapi kelengkapan kamera di depan dan belakangnya.

Berdasarkan grafik yang tertulis di badannya dan maklumat daripada laman Facebook, model ini diberi nama Hengjian GSADV 500, dan dikeluarkan oleh syarikat Chongqing Hengjian Motorcycle Manufacturing Co., Ltd.. Nama tempatannya pula ialah Hengjian Dahaidao 500, berdasarkan maklumat yang disiarkan melalui video pengenalannya.

Spesifikasi lain model Honda Africa Twin bertaraf copycat ini boleh dikatakan menarik dan praktikal, antaranya ialah enjin 500cc dua silinder dengan sistem penyejukan cecair dan 8 injap, yang menghamburkan kuasa maksimum 47hp dan tork maksimum 43Nm. Menurut pengeluarnya, model ini didatangkan dalam versi travel dan juga adventure.

Rim roda berjejari depannya berukuran 21 inci dan di bahagian belakang berukuran 18 inci, seterusnya dipasangkan tayar all-terrain berjenama Pirelli. Tinggi tempat duduk bagi versi travel ialah 820 mm, manakala versi adventure mempunyai ketinggian tempat duduk 860 mm. Antara ciri paling unik ialah model ini dilengkapi dua tangki petrol.

Tangki petrol di bahagian depan mempunyai kapasiti 23 liter, manakala tangki petrol di bahagian belakang mempunyai kapasiti 17.3 liter. Berdasarkan data ujian, dikatakan model tersebut mampu mengharungi perjalanan sejauh di antara 1,000 sehingga 1,200 km. Sistem suspensi model ini juga telah ditala untuk bersesuaian dengan karakternya.

Sistem brek cakera serba lengkap turut dilengkapi sistem ABS dengan fungsi boleh dimatikan. Ciri-ciri menarik lain termasuklah panel meter TFT berwarna 7.0 inci dengan ciri sesentuh dan pelbagai fungsi seperti kesambungan ke telefon pintar, merakam video dan paparan pelbagai data penting. Sistem lampu LED merupakan ciri standard.