Kabira KM3000 2021 dilancarkan di pasaran India, motosikal elektrik dengan gaya rekaan Kawasaki Ninja 250

Sebuah syarikat pemula baharu Kabira Mobility yang berpengkalan di Goa, India baru-baru ini telah melancarkan sebuah model motosikal elektrik baharu, yang diberi nama Kabira KM3000. Motosikal elektrik tersebut tampil dengan gaya rekaan yang moden dan sporty, mirip model Kawasaki Ninja 250 keluaran tahun 2013 sehingga 2017.

Kabira KM3000 ditawarkan pada harga jualan INR 1,26,990, bersamaan RM 7,075.57. Menurut syarikat pengeluarnya, model tersebut dilengkapi pek bateri Lithiuim Ion yang berprestasi tinggi, kalis api, kalis air, tahan kejutan dan kalis cuaca. Tempoh masa untuk pengecasan bateri ialah 6 jam 30 minit (Charging-Eco) atau 2 jam (Charging Boost).

Kabira KM3000 mempunyai tiga mod tunggangan seperti Eco Range, City Range dan Sports Range. Mod Eco Range menawarkan jarak perjalanan sejauh 120 km, manakala mod City Range menawarkan jarak perjalanan sejauh 95 km. Bagi mod Sports Range yang lebih berprestasi, ianya menawarkan jarak perjalanan sejauh 60 km sahaja.

Kelajuan maksimum Kabira KM3000 ini mencapai 100 km/j. Untuk keselamatan, ianya dilengkapi sistem brek cakera di bahagian roda depan dan belakang, lengkap dengan sistem brek CBS. Panel meter digitalnya dilengkapi sistem sambungan Bluetooth, dan juga terdapat ciri Keyless Start yang boleh didapati melalui sistem KM Connect.