Modenas Pulsar RS200 dilancarkan di pasaran Malaysia pada bulan Mei 2017, hasil kolaborasi di antara Modenas dan syarikat Bajaj Auto dari India. Ketika ini model sport bike tersebut masih lagi ditawarkan di pasaran Malaysia, dengan harga jualan terkini ditetapkan sebanyak RM 9,990.00 yang boleh dikatakan sangat berpatutan.
Modenas Pulsar RS200 dilengkapi enjin bersesaran 199.5cc (silinder tunggal, empat lejang, SOHC 4 injap, sejukan cecair, 3 palam pencucuh enjin, suntikan bahan api), dan digandingkan dengan transmisi enam kelajuan. Kuasa yang dihasilkan mencapai angka maksimum 24.5PS @ 9,750rpm dengan tork maksimum 18.6Nm @ 8,000rpm.
Spesifikasi lain yang melengkapinya ialah tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 13 liter, fork depan teleskopik dengan sesendal anti geseran, penyerap hentak belakang monoshock nitrox dengan kanister, sistem brek depan cakera tunggal 300 mm dengan ABS satu saluran dan brek cakera tunggal 230 mm di bahagian roda belakang.
Modenas Pulsar RS200 turut dilengkapi lampu depan jenis projektor berkembar, tayar depan tanpa tiub berukuran 100/80-17, tayar belakang tanpa tiub berukuran 130/70-17, dan berat 164 kg (kerb weight). Tampil dengan gaya rekaan yang agresif dan maskulin, model tersebut mempunyai tiga pilihan warna iaitu Biru Putih, Merah Putih dan Hitam.