Honda Motorcycle & Scooter India Pvt. Ltd. kelmarin dengan rasminya melancarkan model baharu Honda CB350RS 2021 untuk pasaran India. Model bergaya klasik moden itu merupakan model kedua dalam siri CB di pasaran India, selepas pelancaran model pertama Honda H’ness CB350 2021 dalam bulan September 2020 yang lepas.
Untuk pasaran India, Honda CB350RS didatangkan dalam dua pilihan warna menarik iaitu Black with Pearl Sports Yellow dan Radiant Red Metallic. Harga jualannya yang ditetapkan pula adalah sebanyak INR 1,96,000 (ex-showroom PAN India), bersamaan nilai RM 10,880.40 sahaja (mengikut kadar semasa), yang pastinya sangat berpatutan.
Dari segi gaya rekaan, Honda CB350RS tampil lebih moden berbanding Honda H’ness CB350. Antara ciri-ciri menarik yang melengkapinya termasuklah sistem lampu LED sepenuhnya, panel meter Advanced Digital-Analogue Meter dengan paparan pelbagai informasi, Assist & Slipper Clutch dan juga Honda Selectable Torque Control (HSTC).
Spesifikasi lain yang melengkapi Honda CB350RS ialah sistem brek ABS dua saluran dengan brek cakera depan 310 mm dan belakang 240 mm, tayar bersaiz lebar dengan ukuran 100/90-19 (depan) dan 150/70-17 (belakang), kerangka Half-Duplex Cradle, fork depan teleskopik, suspensi belakang jenis berkembar dan skid plate di bawah enjin.
Engine Start/Stop Switch pula memberikan kemudahan untuk mematikan enjin dengan pantas, manakala Hazard Switch meningkatkan lagi ciri keselamatan untuk penunggang sewaktu kadar penglihatan rendah. Tangki bahan api mempunyai kapasiti maksimum 15 liter, ketinggian tempat duduk 800 mm dan berat motosikal ialah 179 kg (kerb weight).
Honda CB350RS dikuasakan enjin bersesaran 348.36cc (air-cooled, 4-stroke, OHC, single-cylinder, PGM-FI), yang kemudiannya dipadankan dengan sistem transmisi lima kelajuan. Kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai 20.8hp @ 5,500rpm dengan tork maksimum 30Nm @ 3,000rpm. Sistem ekzos pula menjanjikan bunyi yang merdu.
Secara keseluruhannya, penampilan dan spesifikasi teknikal Honda CB350RS 2021 di pasaran India ini sememangnya sangat menarik, apatah lagi jika dibandingkan dengan harganya yang mampu milik. Ianya dijangka akan mendapat sambutan jika dilancarkan di pasaran Malaysia, namun adakah Boon Siew Honda akan melancarkannya?