Di pasaran Eropah, Yamaha Motor Europe menawarkan model skuter Yamaha Aerox 4, yang kali terakhir menerima kemaskini terbaharu adalah pada tahun 2018. Setakat ini tidak dapat dipastikan sampai bilakah model ini akan terus ditawarkan, mungkin ianya akan digantikan dengan model generasi baharu yang lebih canggih tidak lama lagi.
Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi Yamaha Aerox 4 ini termasuklah rekaannya yang bergaya sporty dan aerodinamik, tahap pengendalian yang responsif, lincah dan mempunyai kawalan maksimum ketika mengambil selekoh, rim aloi yang ringan dan sepasang brek cakera 190 mm yang menawarkan prestasi pemberhentian cemerlang.
Selain itu model skuter kompak tersebut juga memiliki ruang simpanan barang-barang yang luas di bawah tempat duduk, yang boleh memuatkan sebuah topi keledar bersaiz penuh. Ianya juga dilengkapi tangki bahan api dengan kapasiti 6.0 liter untuk perjalanan yang lebih jauh, di samping mengurangkan kekerapan berhenti untuk mengisi petrol.
Yamaha Aerox 4 dikuasakan enjin bersesaran 49.45cc (single-cylinder, 4-stroke, liquid-cooled, SOHC) yang dipadankan transmisi automatik, menawarkan kuasa maksimum 2.95hp @ 7,250rpm dengan tork puncak 3.3Nm @ 4,500rpm. Enjin yang bertaraf Euro 4 itu bukan saja mengeluarkan emisi yang rendah, malah sangat cekap dan ekonomi.
Beralih ke bahagian roda, Yamaha Aerox 4 dilengkapi tayar depan dalam siri 120/70-13 dan tayar belakang 130/60-13, menjadikan ketinggian tempat duduknya berada pada paras 817 mm. Seterusnya dengan berat hanya 97 kg (curb weight), Yamaha Aerox 4 menawarkan ciri tunggangan yang menyeronokkan terutamanya di kawasan bandar.