Model terbaharu Honda Wave 110i 2021 punyai banyak sebab untuk laris di pasaran Malaysia

Para peminat motosikal Honda di pasaran Malaysia ketika ini sedang sabar menantikan pelancaran model moped terbaharu Honda Winner X, yang dijangkakan pelancarannya bakal berlangsung pada pertengahan tahun ini. Pada masa yang sama, juga terdapat ramai peminat yang mengharapkan pelancaran sebuah model terbaharu yang lain.

Model tersebut ialah Honda Wave 110i 2021, yang baru saja dilancarkan di pasaran Thailand pada awal bulan Januari yang lepas. Mungkin ianya hanyalah sebuah model kapcai yang tidak setanding dengan model Honda Winner X yang tampil lebih sporty dan lebih berprestasi, namun ianya tetap mempunyai banyak kelebihan yang tersendiri.

Antaranya ialah Honda Wave 110i 2021 dilengkapi enjin baharu Honda Smart Engine yang lebih ekonomi, lebih berprestasi dan lebih pantas, serta lebih berdaya tahan. Enjin 109.5cc (4-stroke, SOHC, Fuel Injection System PGM-FI, Air-cooled) itu dipadankan kotak gear empat kelajuan, dengan tahap ekonomi pada kadar sehingga 76.9km/liter.

Lebih menarik lagi ialah model tersebut dilengkapi tangki bahan api yang lebih besar sehingga 5.0 liter, berbanding 3.7 liter untuk model generasi sebelumnya. Ruang untuk menempatkan barang-barang peribadi di bawah tempat duduk juga kini hadir lebih luas, meningkat kepada 10 liter berbanding model sebelumnya yang berkeluasan 7.4 liter.

Selain itu, panel meter Honda Wave 110i 2021 juga tampil menarik dengan gabungan teknologi paparan digital LCD. Ianya memberikan informasi yang lengkap seperti posisi gear, kuantiti bahan api dan jarak perjalanan keseluruhan. Seterusnya lampu utama di bahagian depan dengan LED yang terang menambahkan lagi keyakinan tunggangan.

Reka bentuk keseluruhan Honda Wave 110i 2021 ini mungkin sederhana sahaja, tetapi tetap kelihatan moden dan menepati citarasa pengguna motosikal di Malaysia. Dengan harga di pasaran Thailand sekitar hanya RM 4,989.81, harga untuk pasaran Malaysia jika ianya dilancarkan nanti juga pastinya tidak jauh berbeza dan kekal mampu milik.

Untuk peminat Honda yang lebih meminati sebuah model moped yang lebih berkuasa, Honda Winner X pastinya akan menjadi pilihan. Namun untuk peminat yang mahukan sebuah motosikal kapcai yang selesa, jimat petrol, praktikal dan tampil dengan ciri-ciri moden dan canggih, Honda Wave 110i 2021 ini pasti akan menjadi pilihan terlaris.