Modenas Dominar 250 2021 adakah bakal dilancarkan pada tahun ini?

Model sport tourer Modenas Dominar 400 merupakan antara model motosikal keluaran Modenas yang sememangnya dikenali di pasaran Malaysia. Namun dengan enjinnya yang bersesaran 373.3cc, pasarannya mungkin agak terbatas disebabkan kelas lesen. Untuk lesen kelas B2, ianya terhad kepada model motosikal di bawah 250cc sahaja.

Pada bulan Mac 2020 yang lepas, Bajaj secara rasminya telah memperkenalkan model baharu Bajaj Dominar 250 di pasaran India. Dengan enjin bersesaran 248.77cc, model tersebut dirasakan sesuai untuk dilancarkan di pasaran Malaysia, menjadikannya salah salah satu pilihan model baharu yang ideal di samping Modenas Dominar 400.

Ketika ini masih belum kedengaran sebarang maklumat yang meyakinkan mengenai kemungkinan bahawa Modenas akan melancarkan model terbaharu Modenas Dominar 250 2021. Bagaimanapun tidak mustahil model tersebut berada dalam perancangan Modenas, yang hanya menunggu masa sahaja untuk dilancarkan pada tahun ini.

Apabila dilancarkan nanti, harga yang bakal ditawarkan untuk Modenas Dominar 250 pastinya lebih berpatutan dan lebih mampu milik berbanding harga Modenas Dominar 400, yang ketika ini dijual pada harga sebanyak RM 13,788.00. Yang penting, pengguna motosikal dengan kelas lesen B2 kini mampu memilikinya tanpa sebarang masalah.

Cuma yang menjadi persoalannya ialah setakat manakah penerimaan pembeli untuk model berkenaan nanti. Dengan kuasa maksimum 27PS @ 8,500rpm dan tork puncak 23.5Nm @ 6,500rpm, transmisi enam kelajuan, tangki petrol 13 liter, fork depan USD dan sistem brek cakera dengan ABS dua saluran, rasanya tentu ramai yang berminat.