Honda di pasaran Filipina baru-baru ini telah melancarkan model terbaharu Honda TMX125 Alpha 2021, pada harga ₱ 51,400.00, bersamaan RM 4,323.15 mengikut kadar semasa. Model tersebut tampil dengan gaya rekaan klasik bagaikan sebuah model cafe racer, dalam pilihan warna Matte Armored Silver Metallic, Candy Ruby Red dan Black.
Honda TMX125 Alpha dikuasakan enjin berkapasiti 125cc (4-Stroke, Over Head Valve (OHV)) dengan gandingan transmisi manual lima kelajuan, dan menawarkan kuasa maksimum 9.6hp @ 8,000rpm dengan tork maksimum 9.1Nm @ 6,500rpm. Dilengkapi tangki bahan api 8.6 liter, tahap ekonominya berada pada paras 62.5 km/l @ 45 km/j.
Untuk tunggangan yang mudah, ianya turut dilengkapi sistem penghidup elektrik yang hanya memerlukan sekali sentuhan untuk terus bergerak. Sistem suspensinya terdiri daripada gabungan fork depan teleskopik dan suspensi belakang jenis berkembar, dan diikuti oleh sistem brek jenis dram di kedua-dua bahagian roda depan dan belakang.
Secara keseluruhannya, spesifikasi yang melengkapi model Honda TMX125 Alpha ini sederhana sahaja, tipikal untuk sesebuah model lama yang masih lagi ditawarkan di pasaran sehingga kini. Model seperti ini pastinya tidak akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia yang lebih menggemari model-model terkini yang lebih moden dan sporty.