Berapakah kelajuan maksimum Honda ADV150? Adakah ianya mampu mencapai angka kelajuan melebihi 120 km/j?

Model skuter terbaharu Honda ADV150 2021 baru saja rasmi dilancarkan di pasaran Malaysia, dengan harga yang berpatutan dan dalam dua pilihan warna yang menarik. Setakat ini telah ramai yang berjaya memiliki model skuter ADV tersebut, dan pada masa yang sama ramai yang bertanyakan soalan berapakah kelajuan maksimumnya?

Bagi menjawab persoalan bertaraf wajib tersebut, Arena Motosikal telah mengambil maklumat daripada suatu laman sesawang di Jepun, yang telah pun melakukan ujian kelajuan untuk model tersebut pada tahun lepas. Sesi tunggangan itu dibuat di atas lebuh raya yang lurus dan selesa, yang pastinya memberikan keputusan yang tepat.

Berdasarkan ujian yang dijalankan itu, Honda ADV150 menawarkan prestasi enjin yang responsif dan senyap, getaran enjin yang rendah dan stabil pada kelajuan tinggi. Pada kelajuan melebihi 70 km/j, penunggang yang melakukan ujian itu mengatakan beliau mengatakan hampir tidak merasakan sebarang getaran pada bahagian enjinnya.

Apabila angka meter sampai kepada paras 100 km/j, tahap kesenyapan tersebut masih tidak berubah. Dan dengan sepantas kilat apabila dipecut, angka meter berubah ke angka 110 km/j, dan kemudiannya terus mencapai paras 115 km/j. Nampak gayanya Honda ADV150 akan berjaya mencapai kelajuan maksimum 120 km/j sebentar lagi.

Malangnya setelah pelbagai usaha dilakukan termasuk merebahkan badan untuk tahap aerodinamik yang lebih baik, Honda ADV150 yang ditunggang uji itu hanya mampu mencapai kelajuan maksimum 115 km/j sahaja. Penunggang uji tersebut mengatakan sistem penghad kelajuan pada Honda ADV150 nampaknya berfungsi dengan baik.

Selain itu sebagai tambahan, penunggang uji turut mengatakan berdasarkan ujian lain yang dijalankan, kelajuan maksimum yang berjaya dicapai oleh Honda ADV150 ialah setakat 118 km/j. Walaupun tidak berjaya mencapai kelajuan maksimum 120 km/j, ciri-ciri enjinnya yang senyap pada kelajuan tinggi sebenarnya patut mendapat pujian.

Apa pendapat anda dengan kelajuan maksimum 115 km/j itu? Perlukah Honda ADV150 yang merupakan sebuah model skuter ADV dengan enjin 150cc itu diubahsuai untuk mendapatkan tahap kelajuan yang lebih tinggi? Atau hanya membiarkannya dalam keadaan standard yang pastinya lebih menjimatkan dan cekap penggunaan bahan api.

Sumber : mc-web.jp