Yamaha FZ-FI 2021 dan Yamaha FZS-FI 2021 di pasaran India kini menerima beberapa kemaskini baharu

India YAMAHA Motor Pvt. Ltd. hari ini memperkenalkan Yamaha FZ-FI 2021 dan Yamaha FZS-FI 2021 untuk pasaran India. Kedua-dua varian Yamaha FZ tersebut kini didatangkan dengan beberapa kemaskini terbaharu. Namun sebelum itu mungkin anda tertanya-tanya apakah perbezaan di antara Yamaha FZ-FI dan Yamaha FZS-FI?

Berdasarkan pemerhatian dan rujukan daripada beberapa sumber, perbezaan di antara Yamaha FZ-FI dan Yamaha FZS-FI antaranya melibatkan penggunaan warna berbeza pada komponen air intake palsu, perbezaan rekaan dan material grafik pada tangki petrol, pilihan warna yang berbeza dan kehadiran teknologi sambungan Bluetooth.

Bagi model Yamaha FZ-FI 2021, tiga ciri baharu yang didatangkan ialah Side Stand Engine Cutoff Switch, muffler ekzos yang kini telah diubahsuai dengan bunyi baharu, dan beratnya kini berada pada tahap 135 kg sahaja berbanding 137 kg pada model sebelumnya. Dua pilihan warna yang ditawarkan ialah Racing Blue dan Metallic Black.

Yamaha FZS-FI 2021 pula kini didatangkan dengan teknologi Yamaha Motorcycle Connect X Bluetooth yang kini menjadi ciri standard untuknya. Teknologi sambungan tersebut yang boleh dioperasikan melalui aplikasi di telefon pintar menawarkan ciri-ciri seperti “Answer back”, “E-lock”, “Locate my bike”, “Hazard” dan sebagainya.

Selain itu ianya juga kini didatangkan pilihan warna terbaharu Matte Red, di samping empat pilihan warna terdahulu seperti Matte Black, Dark Matte Blue, Dark Knight dan Vintage Green. Yamaha FZS-FI 2021 turut didatangkan emblem 3D baharu pada tangki petrol, yang menjadikan penampilan terkininya kelihatan lebih mewah dan menyerlah.

Spesifikasi lain untuk kedua-dua varian Yamaha FZ-FI 2021 dan Yamaha FZS-FI 2021 adalah sama, seperti dilengkapi enjin bersesaran 149cc (Air cooled, 4-stroke, SOHC, 2-valve) dengan kuasa maksimum 12.4PS @ 7,250rpm dan tork 13.3Nm @ 5,500rpm. Enjin bertaraf BS VI itu kemudiannya dipadankan dengan transmisi lima kelajuan.

Spesifikasi lain termasuklah tangki bahan api 13 liter, lampu depan LED, panel meter digital, suspensi belakang monocross dengan ciri boleh laras, sistem brek cakera depan dan belakang dengan sistem ABS satu saluran, tayar belakang radial dengan kelebaran 140 mm, ketinggian tempat duduk pada paras 790 mm dan berat motosikal 135 kg.

Untuk pasaran India, Yamaha FZ-FI 2021 boleh didapati dengan tanda harga bermula dari Rs.1,03,700 (Ex-showroom Delhi), bersamaan RM 5,758.24 (kadar semasa). Untuk model Yamaha FZS-FI 2021 pula, harganya ditetapkan bermula dari Rs. 1,07,200 (Ex-showroom Delhi), bersamaan RM 5,952.59 mengikut kadar tukaran semasa.

Galeri : Yamaha FZ-FI 2021 

Galeri : Yamaha FZS-FI 2021