Honda PCX160 2021 dilancarkan di pasaran Indonesia, dua varian CBS dan ABS, harga bermula dari RM 8,818.35

PT Astra Honda Motor (AHM) kelmarin dengan rasminya melancarkan model skuter terbaharu Honda PCX160 2021 untuk pasaran Indonesia. Didatangkan dalam dua pilihan varian iaitu CBS dan ABS, harga yang ditawarkan bermula dari Rp. 30,350,000 (RM 8,818.35) untuk varian CBS, dan Rp. 33,950,000 (RM 9,864.35) untuk varian ABS.

Pilihan warna pula ialah empat kesemuanya bagi setiap varian, bermula dengan warna Marvelous Matte Gray, Majestic Matte Red, Wonderful White dan Glorious Matte Black untuk varian CBS. Untuk varian ABS, empat pilihan warna yang boleh didapati ialah Majestic Matte Red, Royal Matte Blue, Wonderful White dan Brilliant Black.

Honda PCX160 merupakan model baharu yang lebih canggih dan lebih mesra alam jika dibandingkan dengan model terdahulu Honda PCX150. Ianya kini dikuasakan enjin eSP+ baharu bersesaran 156.9cc (liquid-cooled, 4-stroke, single-cylinder), yang kini dilengkapi dengan empat injap yang lebih cekap berbanding dua injap pada model terdahulu. Enjin tersebut kemudiannya dipadankan transmisi automatik V-Matic.

Enjin baharu yang cekap penggunaan bahan api itu menghasilkan kuasa maksimum 16PS @ 8,500rpm dengan tork puncak 14.7Nm @ 6,500rpm. Sebagai perbandingan, Honda PCX150 menghasilkan kuasa maksimum 15PS @ 8,500rpm dengan tork 14Nm @ 6,500rpm. Peningkatan tersebut menjadikan prestasi PCX160 kini semakin baik.

Sistem brek PCX160 dilengkapi cakera depan dan belakang, dengan sistem ABS satu saluran beroperasi di bahagian roda depan sahaja (untuk varian ABS). Teknologi Honda Selectable Torque Control (HSTC) yang baru diperkenalkan pula menyumbang kepada kestabilan di permukaan yang licin. Seterusnya ruang bagasi di bawah tempat duduk kini berkeluasan 30 liter, dengan kemampuan menyimpan lebih banyak barangan.

Untuk lebih kemudahan, PCX160 kini dilengkapi pengecas USB sebagai ciri standard yang diletakkan di konsol dalaman di bahagian depan. Sistem Smart Key Honda pula memberikan kemudahan untuk membuka tombol suis utama tanpa mengeluarkan kunci dari poket. Tangki petrol kini didatangkan dengan ciri pemegang tudung yang praktikal. Selain itu ialah ruang kaki baharu yang menawarkan tunggangan yang lebih selesa.

Beralih ke bahagian sistem suspensi, ianya terdiri daripada fork depan jenis teleskopik dan penyerap hentak belakang jenis berkembar. Model skuter tersebut seterusnya dipasangkan tayar tanpa tiub berukuran 110/70-14 dan 130/70-13, dengan ketinggian tempat duduk 764 mm. Kapasiti tangki bahan apinya ialah 8.1 liter, dengan berat (net weight) masing-masing mencapai 131 kg (varian CBS) dan 132 kg (varian ABS).

Tidak dilupakan ialah Honda PCX160 2021 turut hadir dengan kerangka badan baharu, panel meter digital baharu sepenuhnya dan sistem lampu depan dan belakang LED. Untuk penampilan yang lebih sporty dan anggun berbanding model standard, Honda PCX160 di pasaran Indonesia ini turut ditawarkan dengan pelbagai pilihan aksesori.