Kelmarin pada tarikh 05hb. Februari 2021, Benelli Malaysia akhirnya rasmi melancarkan model terbaharu Benelli 752S untuk pasaran tempatan. Benelli Malaysia diedarkan oleh MForce Bike Holdings Sdn. Bhd., yang turut mengedarkan beberapa jenama motosikal lain seperti SYM, Keeway, WMoto, SM Sport, Brixton Motorcycles dan NIU.
Untuk pasaran Malaysia, Benelli 752S ditawarkan pada harga yang boleh dikatakan sangat berpatutan iaitu RM 37,888.00 sahaja (harga asas, tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan). Model naked atau street fighter tersebut boleh didapati dalam tiga pilihan warna yang menarik seperti Hijau (Green), Merah (Red) dan Hitam (Black).
Benelli 752S sememangnya tampil dengan gaya rekaan yang sporty dan menawan. Ianya dilengkapi enjin dua silinder bersesaran 754cc dengan sistem sejukan cecair, yang kemudiannya dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan. Janaan kuasa yang terhasil mencapai 76hp @ 8,500rpm dengan tork maksimum 67Nm @ 6,500rpm.
Bagi menjamin kestabilan sewaktu tunggangan, Benelli 752S dilengkapi fork depan Marzocchi jenis terbalik (upside-down) dengan diameter 50mm, manakala ukuran travel suspensi depan keseluruhannya ialah 130 mm. Di bahagian belakang, lengan ayunnya digandingkan dengan suspensi monoshock yang boleh dilaras dengan travel 60 mm.
Perhatian kepada ciri keselamatan disempurnakan oleh sistem brek Brembo dengan dua cakera berkembar separuh terapung 320 mm dan kaliper empat piston, dan cakera 260 mm di bahagian roda belakang dengan kaliper terapung dua piston. Sistem brek berprestasi tinggi itu seterusnya dilengkapi dengan sistem ABS dua saluran. Rim roda aloi aluminium 17 incinya dipasangkan tayar berukuran 120/70-17 dan 180/55-17.
Benelli 752S turut didatangkan ciri-ciri seperti sistem lampu LED sepenuhnya, paparan panel meter digital TFT yang lebih terang dan jelas, tangki bahan api berkapasiti 14.5 liter, ketinggian tempat duduk 810 mm dan berat 226 kg. Tempoh jaminannya adalah selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km, yang mana tiba lebih dahulu.