Suzuki Hayabusa 2021 serba baharu diperkenalkan, akan tiba di bilik pameran di UK mulai Mac dengan harga £16,499

Suzuki hari ini memperkenalkan model Hayabusa 2021 serba baharu, yang merupakan generasi ketiga untuk model legenda tersebut. Menurut Suzuki, Hayabusa kini hadir dengan lebih 550 komponen baharu, termasuklah rekaannya yang dikemaskini semula dan tampil lebih tajam, lebih sporty dan lebih segar berbanding model sebelumnya.

Di bahagian casis, Hayabusa masih mengekalkan casis sedia ada namun kini ianya telah disemak semula, bersama-sama subframe baharu, sistem brek baharu dan juga talaan sistem suspensi baharu. Enjinnya juga masih bersesaran 1340cc (4-stroke, 4-cylinder, liquid-cooled, DOHC) yang dipadankan dengan transmisi enam kelajuan.

Hamburan kuasa maksimumnya kini mencapai angka 190PS @ 9,700rpm dengan tork maksimum 150Nm @ 7,000rpm. Walaupun masih mengekalkan enjin terdahulu, ianya telah mengalami rekaan semula sepenuhnya dengan pelbagai komponen baharu, yang bukan sahaja meningkatkan prestasinya, malah kini mematuhi piawaian emisi Euro 5.

Suzuki Hayabusa 2021 yang serba canggih ini turut dilengkapi versi baharu Suzuki Intelligent Ride System (SIRS) dan teknologi six axis Inertial Measurement Unit (IMU), yang mengawal pelbagai rangkaian elektronik termasuklah cornering ABS, traction control, cruise control, launch control, bi-directional quickshifter, engine brake control, three power modes, plus three preset rider modes and three user defined modes.

Selanjutnya, ianya juga dibekalkan sistem pendikit elektronik canggih ride-by-wire yang beroperasi dengan pelbagai sistem kawalan elektronik yang lain, panel instrumen yang kini didatangkan paparan TFT ditengahnya, sistem lampu LED di bahagian depan dan belakang rekaan baharu, serta brek depan 320 mm dengan kaliper Brembo stylema.

Spesifikasi lain termasuklah sistem suspensi KYB dengan ciri boleh laras sepenuhnya, tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 20 liter, tempat duduk dengan ketinggian 800 mm, tayar depan dalam siri 120/70ZR17M/C (58W) dan tayar belakang dalam siri 190/50ZR17M/C (73W), serta berat jentera legenda itu ialah 264 kg (kerb mass).

Suzuki Hayabusa 2021 didatangkan dalam dua pilihan warna untuk pasaran UK iaitu Glass Sparkle Black / Candy Burnt Gold dan Metallic Matt Sword Silver / Candy Daring Red. Model tersebut akan tiba di bilik pameran mulai bulan Mac 2021, dengan tanda harga sebanyak £16,499, bersamaan RM 92,074.90 mengikut kadar tukaran semasa.