Momos Pantera CX 135, motosikal kapcai yang berjiwa off-road dan ADV

Ini merupakan motosikal kapcai Momos Pantera CX 135 yang pernah ditawarkan di pasaran Malaysia suatu ketika dahulu. Berdasarkan maklumat yang ada, ianya mula diperkenalkan sekitar tahun 2008, namun tidak pasti jualannya bertahan sampai bila.

Momos Pantera CX 135 dilengkapi enjin bersesaran 133.1cc (single-cylinder, 4-stroke, SOHC) dengan sistem penyejukan udara dan minyak. Sistem penghidupan enjinnya terdiri daripada jenis tendang dan elektrik, dan menggunakan transmisi empat kelajuan.

Tangki bahan apinya mempunyai kapasiti maksimum 4.0 liter, dengan berat jentera ini ialah 116 kg (dry weight). Sistem brek depan merupakan jenis cakera dan digandingkan dengan brek belakang jenis dram. Tayar depan dan belakangnya berukuran 17 inci.

Melihat kepada penampilannya, Momos Pantera CX 135 ini merupakan sebuah model motosikal kapcai yang berjiwa off-road dan juga ADV (adventure). Ekzos belakangnya yang tinggi memudahkannya untuk meredah kawasan banjir atau pun anak sungai.

Konsep motosikal kapcai atau moped seperti ini sebenarnya sangat praktikal untuk digunakan dalam sebarang aktiviti luar yang mencabar, jauh dari kesibukan kota raya. Kelemahannya mungkin kerana ianya tidak mempunyai ramai peminat di Malaysia.