Lexmoto LXR 125 di pasaran UK, motosikal sport 125cc terlaris bagi tahun 2020

Lexmoto LXR 125 model tahun 2020 ini merupakan sebuah model motosikal sport bike yang ditawarkan di pasaran UK, pada harga £ 2,199.99, bersamaan nilai RM 12,263.46 mengikut kadar semasa. Model bergaya sporty dan agresif tersebut tersedia dalam tiga pilihan warna yang menarik seperti Black/Red, White/Blue dan Gunmetal/Blue.

Menurut pengeluarnya, rekaan Lexmoto LXR 125 diilhamkan daripada litar perlumbaan. Ianya dikuasakan enjin 125cc (single-cylinder, water-cooled) dengan teknologi EFI, dan dipadankan transmisi lima kelajuan. Enjin yang bertaraf Euro 4 itu menghasilkan kuasa maksimum 12.1hp @ 9,500rpm dengan tork maksimum 9.58Nm @ 6,500rpm.

Spesifikasi penuh Lexmoto LXR 125 antaranya termasuklah tangki bahan api 13.5 liter, fork depan teleskopik, suspensi belakang monoshock, brek cakera depan berkembar, brek cakera belakang tunggal, lampu LED, meter kelajuan digital dan tayar depan dan belakang yang masing-masing dalam ukuran 110/70-R17 dan 150/70-R17.

Lexmotor LXR 125 mempunyai ketinggian tempat duduk 800 mm dan beratnya 167 kg. Menariknya mengenai model tersebut ialah menurut laporan dari Bennetts.co.uk, ianya menjadi model sport 125cc terlaris di pasaran UK untuk tahun 2020. Pencapaian yang sangat impresif untuk sesebuah model motosikal yang berasal dari negara China.