Honda PCX160 2021 diperkenalkan di pasaran USA, harga bermula dari RM 15,384.05

Honda kelmarin dengan rasminya memperkenalkan model skuter terbaharu Honda PCX160 2021 untuk pasaran USA. Model tersebut sebelum ini dilancarkan di pasaran Jepun dan Thailand. Untuk pasaran USA, hanya satu pilihan warna sahaja yang ditawarkan iaitu Pearl White, dalam dua pilihan varian iaitu Standard dan ABS.

Bagi varian Standard, harga yang ditawarkan adalah sebanyak $3,799, bersamaan RM 15,384.05. Varian ABS pula berharga sebanyak $3,999, bersamaan RM 16,193.95 mengikut kadar semasa. Ianya akan berada di pasaran USA secara rasmi mulai bulan Mac 2021 akan datang, bagi menggantikan model terdahulu Honda PCX150 2020.

Honda PCX160 kini dilengkapi enjin bersesaran 156.9cc (liquid-cooled, 80ยบ single-cylinder, four-stroke, SOHC, four valves), dengan kuasa maksimum 15.8PS @ 8,500rpm dan tork puncak 15Nm @ 6,500rpm. Enjin eSP+ baharu itu dilengkapi sistem PGM-FI dan dipadankan dengan transmisi automatik (Automatic V-Matic belt drive).

Menurut Honda, PCX160 bukan saja menawarkan enjin yang lebih berkuasa, malah lebih mesra alam, lancar, senyap dan mempunyai tahap kecekapan penggunaan bahan api yang tinggi. Selain itu casis model skuter itu juga telah direka semula dan kini lebih ringan, seterusnya menambahbaik pengalaman dan pengendalian tunggangannya.

Selanjutnya ialah gaya yang lebih menawan, kemudahan dan keselamatan untuk Honda PCX160 di pasaran USA ini telah ditangani oleh ciri-ciri menarik seperti sistem lampu LED sepenuhnya, sistem Smart Key, soket pengecas USB, ruang barangan seluas 30 liter di bawah tempat duduk dan Honda Selectable Torque Control (HSTC).

Artikel Popular Minggu Ini :