Wuyang-Honda Motors baru-baru ini melancarkan model bergaya retro yang sporty Honda CB190SS 2021 untuk pasaran China. Model tersebut sebelum ini diperkenalkan sejak tahun 2019, namun dilancarkan semula dengan kemaskini warna terbaharu.
Untuk model tahun 2021 ini, warna pada bahagian penutup sisi, penutup tangki bahan api sisi dan fender belakang kini telah bertukar kepada warna baharu matte retro dark gray yang lebih gelap, daripada warna asal bright stainless steel yang lebih cerah.
Pada masa yang sama, tempat duduk kulit yang selesa untuk model tahun 2021 juga ditawarkan untuk ditukarkan secara percuma kepada pembeli bagi model tahun 2019, yang masih dengan rekaan yang sama, cuma warnanya sahaja yang kini berbeza.
Honda CB190SS menawarkan gaya rekaan retro yang sporty dan menawan, antaranya dengan ciri-ciri seperti lampu depan berbentuk bulat dengan LED melintang ditengah-tengahnya, panel meter analog dan digital, lampu belakang berbentuk U, tempat duduk kulit vintage dan muffler ekzos yang diperbuat daripada stainless steel sepenuhnya.
Selain itu ianya juga dilengkapi port pengecas USB, fork depan jenis terbalik, suspensi belakang monoshock, sistem brek cakera dengan ABS, rim berjejari yang sporty dan tangki petrol 15.3 liter yang dikatakan mampu melakukan perjalanan sejauh 690 km.
Sistem penjana kuasanya ialah enjin bersesaran 184cc (four-stroke, single-cylinder, air-cooled, PGM-FI) yang menawarkan kuasa maksimum 15.7hp @ 8,000rpm dengan tork 15Nm @ 7,000rpm. Enjin tersebut kemudiannya dipadankan transmisi lima kelajuan.
Honda CB190SS 2021 mempunyai berat hanya 146 kg. Untuk pasaran China, harga yang ditawarkan adalah sebanyak CNY 16,980, bersamaan nilai RM 10,656.86. Model ini juga dijual di pasaran Singapura, yang dibawa masuk oleh pengimport bebas.