Yamaha XMAX 125 2021 terima peningkatan prestasi, lebih cekap penggunaan bahan api dan patuh piawaian Euro 5

Dalam bulan Disember 2020 yang lepas, Yamaha Motor Europe telah memperkenalkan Yamaha XMAX 125 2021 terbaharu. Ianya kini dilengkapi enjin 124cc baharu yang direka semula, yang kini menawarkan prestasi enjin yang lebih kuat dan tahap ekonomi yang lebih baik. Enjin tersebut juga telah mematuhi piawaian Euro 5 sepenuhnya.

Enjin baharu tersebut mendapat manfaat daripada teknologi Variable Valve Actuation (VVA), yang bukan sahaja meningkatkan prestasi, malah membolehkannya mencapai tahap ekonomi bahan api sehingga 11 peratus, kepada hanya 2.4 liter/100 km. Dengan ciri baharu sistem Start & Stop apabila ianya dihidupkan, pengeluaran emisi berjaya dikurangkan dan tahap penggunaan bahan api menurun kepada 2.3 liter/100 km.

Untuk meningkatkan kestabilan, ukuran casis telah disemak semula dan kini tampil dengan jarak roda yang lebih panjang 1,570 mm, begitu juga dengan ruang kelegaan bumi yang dipertingkatkan kepada 140 mm. Sebagai tambahan, berat kini dikurangkan sehingga 9 kg kepada 166 kg untuk kawalan yang lebih ringan dan mudah diparking. Travel suspensi belakangnya pula dipertingkatkan sehingga 15 mm kepada 90 mm.

Bagi tahun 2021, Yamaha XMAX 125 tersedia dalam dua pilihan warna iaitu Icon Grey (warna baharu) dan Sonic Grey. Antara ciri-ciri utama yang dibawa daripada model sebelumnya iaitu Yamaha XMAX 125 2020, adalah seperti lampu depan LED jenis berkembar, lampu belakang LED, fork depan jenis motosikal, tempat duduk mewah dengan perehat belakang dan skrin penghadang angin dengan ciri boleh dilaraskan.

Selain itu ianya juga dilengkapi sistem brek cakera depan dan belakang dengan ABS, Traction Control System, Smart Key Keyless, port kuasa 12V untuk mengecas telefon bimbit dan ruang di bawah tempat duduk yang boleh memuatkan dua buah topi keledar bermuka penuh. Tarikh ianya akan berada di pasaran ialah bermula pada Mac 2021.