Untuk pasaran USA, Honda hari ini mengumumkan model CBR300R akan diteruskan jualannya di pasaran negara tersebut bagi musim 2021 ini. Berbanding model tahun sebelumnya, Honda CBR300R 2021 kini tampil dengan dua skim warna dan jalur grafik baharu yang kelihatan lebih sporty iaitu Grand Prix Red dan Matte Gray Metallic.
Spesifikasi teknikal untuk model berkenaan masih tidak berubah, bermakna ianya kekal dikuasakan enjin bersesaran 286cc (liquid-cooled, single-cylinder, four-stroke, DOHC, PGM-FI) dengan gandingan transmisi enam kelajuan. Bahagian suspensinya pula terdiri daripada fork depan teleskopik 37 mm dan suspensi tunggal Pro-Link di belakangnya.
Sistem breknya merupakan gabungan di antara brek cakera depan tunggal berukuran 296 mm dan brek cakera belakang tunggal 220 mm, dengan kelengkapan sistem brek ABS untuk varian ABS. Model sport bike tersebut turut dilengkapi panel meter analog dan digital, storan di bawah tempat duduk dan lampu depan berkembar yang sporty.
Untuk pasaran USA, Honda CBR300R 2021 varian Standard boleh dimiliki pada harga $4,799, bersamaan RM 19,416.75 mengikut kadar semasa. Bagi varian ABS, harganya adalah sebanyak $4,999, bersamaan RM 20,225.95 mengikut kadar semasa. Menurut Honda, ianya akan tiba di bilik pameran pengedar secara rasmi mulai bulan April 2021.