Model cafe racer Zongshen Cyclone RE3 400 ini diperkenalkan sejak tahun 2018, dan pada tahun 2020 ianya telah ditawarkan di pasaran Indonesia menggunakan nama SM Sport SM3. Jenama SM Sport di pasaran Indonesia diedarkan oleh syarikat MForce Indonesia, sama seperti di Malaysia, diedarkan oleh MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.
Zongshen Cyclone RE3 400 kini telah sampai ke model tahun 2021, dan ditawarkan dalam enam pilihan warna kesemuanya. Untuk pasaran China, harga yang ditetapkan adalah sebanyak CNY 29,800.00, bersamaan RM 18,684.11 mengikut kadar semasa. Model ini juga dikatakan bakal ditawarkan di pasaran Eropah atau UK tidak lama lagi.
Enjin yang melengkapi Zongshen Cyclone RE3 400 ini hadir dalam sesaran 377.8cc (dual-cylinder, liquid-cooled) dengan padanan transmisi enam kelajuan. Jumlah kuasa maksimumnya mencapai 36hp @ 9,000rpm dengan tork puncak 35Nm @ 6,500rpm. Tangki bahan apinya mempunyai kapasiti sehingga 19 liter yang pastinya memadai.
Di bahagian depan, ianya dilengkapi sepasang fork jenis USD, manakala di bahagian belakangnya ialah penyerap hentak jenis berkembar. Sistem brek cakera menghiasi roda depan dan belakang, yang masing-masing berukuran 120/70-17 dan 150/70-17. Ketinggian tempat duduk ialah 770 mm, dan mempunyai berat 184 kg (curb weight).
Antara ciri-ciri menarik yang dibekalkan untuk Zongshen Cyclone RE3 400 ini adalah seperti sistem brek ABS dua saluran, tempat duduk dengan balutan kulit bergaya retro, rim berjejari dengan tayar tanpa tiub, peredam bunyi berkembar stainless steel, panel instrumen digital LCD, lampu LED dan adanya aplikasi pintar untuk model tersebut.
Untuk pasaran Malaysia, setakat ini belum dapat dipastikan sama ada model ini akan turut dilancarkan di bawah jenama SM Sport. Oleh kerana ianya telah pun ditawarkan di pasaran Indonesia, jadi tidak mustahil model cafe racer Zongshen Cyclone RE3 400 yang bergaya retro ini akan turut dibawa masuk ke pasaran tempatan oleh MForce.