Di pasaran Vietnam sebelum ini, Suzuki menawarkan dua buah model motosikal dalam kelas 125cc iaitu Suzuki Axelo SP dan Suzuki Axelo RR. Kedua-dua model tersebut kini telah pun dihentikan pengeluarannya, bermula dengan model Axelo SP yang dihentikan pengeluarannya pada tahun 2019, dan diikuti oleh model Axelo RR pada tahun 2020.
Suzuki Axelo SP dan Suzuki Axelo RR kedua-duanya dilengkapi enjin berkapasiti 124cc (four-stroke, 1-cylinder, SOHC, air-cooled) yang dipadankan transmisi empat kelajuan. Enjin yang dilengkapi sistem penyampaian bahan api jenis karburetor itu menghasilkan kuasa maksimum 9.5hp @ 8,000rpm dengan tork maksimum 9.9Nm @ 6,000rpm.
Sistem penghidup enjin untuk kedua-dua model tersebut disediakan dalam dua pilihan iaitu penghidup tendang dan juga elektrik, manakala tangki petrol didatangkan dalam kapasiti 4.3 liter. Sistem suspensi Suzuki Axelo SP dan Suzuki Axelo RR terdiri daripada fork depan jenis teleskopik, dengan gandingan penyerap hentak belakang berkembar.
Suzuki Axelo SP dan Suzuki Axelo RR mempunyai beberapa perbezaan, di mana untuk varian RR yang merupakan varian yang lebih sporty, ianya dilengkapi klac tangan, brek cakera belakang dan rantai tanpa penutup. Bagi model Axelo SP, ianya dilengkapi klac automatik, brek belakang jenis dram dan rantai yang didatangkan dengan penutup.
Dengan tamatnya pengeluaran Suzuki Axelo SP 2019 dan Suzuki Axelo RR 2020 di pasaran Vietnam, pilihan yang ditawarkan oleh Suzuki Vietnam pada ketika ini adalah model Suzuki Raider R150 dan Suzuki Satria F150. Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada generasi baharu Suzuki Axelo SP dan Axelo RR akan diperkenalkan semula.