Model naked Keeway RKF 125 di pasaran Eropah ini mempunyai reka bentuk yang sangat dikenali. Ini kerana untuk pasaran di luar Eropah, ianya dijual di atas nama Benelli 125S, Benelli 150S, Benelli 165S dan Benelli 180S, yang mana setiap model tersebut dilengkapi enjin dalam sesaran berbeza iaitu 125cc, 150cc, 165cc dan 175cc.
Keeway RKF 125 mempunyai reka bentuk yang moden dan sporty. Ianya dikuasakan enjin bersesaran 125cc (1-cylinder, 4-stroke, 4-valve, SOHC) dengan sistem suntikan bahan api, tiga spark plug dan kotak gear lima kelajuan. Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 12.6hp @ 9,500rpm dengan tork maksimum 10Nm @ 8,500rpm.
Spesifikasi lain yang melengkapi Keeway RKF 125 ini termasuklah tangki bahan api 10 liter, fork depan jenis terbalik, suspensi belakang monoshock, sistem brek cakera depan dan belakang, tayar depan dan belakang dalam siri 100/80-17 dan 130/70-17, tempat duduk dengan ketinggian 810 mm dan mempunyai berat 147 kg (unladen weight).
Selain itu ianya juga dilengkapi panel meter digital dan sistem lampu LED. Untuk anda yang mungkin berminat dengan model seperti ini, Benelli Malaysia telah melancarkan model Benelli 150S pada tahun 2019 yang lalu. Harga terkini untuk model berkenaan ketika ini sekitar RM 8k sehingga RM 9k, yang pastinya sangat berbaloi untuk dimiliki.