Yamaha NVX 155 buatan China ini tampil serupa dengan model Yamaha NVX 2021 yang asli

WMoto Malaysia bakal melancarkan sebuah model skuter terbaharu pada keesokan hari, pada jam 11.00 pagi yang akan disiarkan secara maya melalui laman Facebook rasmi mereka. Setakat ini Arena Motosikal telah pun mempunyai gambar-gambar menarik model tersebut, namun hanya akan disiarkan esok selepas pelancarannya.

Namun begitu di sini Arena Motosikal siarkan gambar-gambar sebuah lagi model skuter, yang berasal dari syarikat yang sama dari negara China, di mana model skuter yang akan dilancarkan oleh WMoto Malaysia esok juga berasal dari syarikat tersebut. Model ini sangat menarik kerana penampilannya serupa dengan model Yamaha NVX 2021.

Yamaha NVX 2021 versi facelift terbaharu setakat ini telah dilancarkan secara rasmi di pasaran Indonesia, Vietnam dan Thailand. Untuk pasaran Malaysia, model tersebut ketika ini sedang diuji di jalan raya oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM), menjelang pelancaran rasminya tidak lama lagi. Pelancarannya mungkin pada hujung tahun ini.

Untuk model skuter buatan China ini, nama sebenarnya belum dapat dipastikan. Namun sebenarnya ianya telah pun dilancarkan di pasaran Filipina, dikenali dengan nama Rusi Rapid 150. Enjin model ini pula berdasarkan maklumat daripada syarikat pengeluarnya di China, tersedia dalam dua pilihan sama ada dalam sesaran 124.6cc atau 149.6cc.

Skuter Yamaha NVX 155 versi buatan China ini tidak mustahil boleh dibawa masuk ke pasaran negara kita, sama seperti model-model motosikal dan skuter buatan China yang lain. Cuma buat masa ini WMoto Malaysia memilih sebuah model skuter yang lain untuk dilancarkan esok, yang mungkin dirasakan lebih ideal untuk pasaran tempatan.