Suzuki SV650 ABS 2021 dan Suzuki SV650X ABS 2021 terima kemaskini warna baharu untuk pasaran Jepun

Suzuki hari ini memperkenalkan model Suzuki SV650 ABS 2021 dan Suzuki SV650X ABS 2021 untuk pasaran Jepun. Kedua-dua model tersebut kini menerima kemaskini skim warna baharu yang kelihatan lebih segar dan menyerlah. Spesifikasi teknikal pula didapati masih sama kerana Suzuki tidak memaklumkan sebarang perubahan baharu.

Bagaimanapun untuk pasaran UK pada bulan Disember 2020 yang lepas, kedua-dua model tersebut yang turut didatangkan dengan skim pilihan warna yang sama, telah pun menerima penarafan emisi Euro 5. Namun untuk pasaran domestik Jepun, kedua-dua model tersebut mungkin masih menggunakan piawaian Euro 4 seperti sebelumnya.

Ini kerana untuk model di pasaran UK, enjin 645cc (4-stroke, liquid-cooled, DOHC V-Twin) yang melengkapi SV650 dan SV650X menawarkan kuasa maksimum 73PS @ 8,500rpm dan tork puncak 64Nm @ 6,800rpm. Namun untuk pasaran Jepun, keluaran kuasa maksimum ialah sebanyak 76.1PS @ 8,500rpm dan tork 64Nm @ 8,100rpm.

Suzuki SV650 ABS 2021 dan Suzuki SV650X ABS 2021 akan memulakan jualan di pasaran Jepun secara rasmi mulai tarikh 28hb. Januari 2021. Harga yang ditetapkan untuk SV650 ABS adalah sebanyak 785,400 Yen, bersamaan RM 30,636.99. Harga SV650X ABS pula ialah 829,400 Yen, bersamaan RM 32,353.35 (kadar semasa).

Artikel berkaitan :