Pelancaran rasmi Honda ADV150 2021 dijangka pada bulan Februari depan, harga asas sekitar RM 14k

Salah sebuah model skuter terbaharu yang sangat dinanti-nantikan di pasaran Malaysia ketika ini ialah Honda ADV150 2021. Namun persoalannya ialah bilakah pelancaran rasmi model tersebut akan berlangsung dan berapakah pula harga jualannya?

Berdasarkan maklumat terdahulu, Honda ADV150 2021 akan dilancarkan di pasaran tempatan oleh Boon Siew Honda pada awal tahun ini. Menurut maklumat dari sumber terkini pula, ianya akan dilancarkan pada bulan Februari depan, dengan harga asasnya dikatakan sekitar RM 14k (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan).

Harga berkenaan dirasakan agak tinggi, namun sebenarnya tidak jauh berbeza dengan harga yang ditawarkan di pasaran Thailand dan Cambodia. Kecuali untuk pasaran Indonesia, harga yang ditawarkan adalah lebih rendah iaitu di bawah RM 11k sahaja.

Imbas kembali spesifikasinya, Honda ADV150 dikuasakan enjin eSP (Enhanced Smart Power) dengan teknologi canggih PGM-FI, dan menghasilkan kuasa maksimum 14.5PS @ 8,500rpm dengan tork puncak 13.8Nm @ 6,500rpm. Dilengkapi tangki petrol 8.0 liter, jarak perjalanan yang mampu dicapai olehnya dikatakan melebihi angka 370 km.

Ciri-ciri menariknya yang lain termasuklah panel meter digital sepenuhnya, sistem kunci Honda Smart Key, console box dengan pengecas USB, sistem lampu LED sepenuhnya dengan lampu DRL dan ESS, windscreen yang boleh dilaraskan, suspensi belakang dengan subtank dan sistem brek cakera depan dan belakang dengan ABS.

Bagi anda yang berminat untuk memiliki Honda ADV150 2021 ini, tempahan sebelum ini dikhabarkan sudah dibuka di cawangan pengedar Honda yang berdekatan. Tempah sekarang untuk menjadi yang pertama memiliki model skuter ini di pasaran Malaysia.