Yamaha Jupiter RC 2017 di pasaran Thailand, spesifikasi lebih baik berbanding Yamaha Lagenda 115Z 2020

Untuk pasaran Malaysia, Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) sehingga kini masih menawarkan model Yamaha Lagenda 115Z 2020. Antara pasaran lain yang turut menawarkan model tersebut ketika ini ialah pasaran Indonesia (Yamaha Jupiter Z1), pasaran Vietnam (Yamaha Jupiter RC) dan pasaran Filipina (Yamaha Vega Force i).

Pasaran Thailand pula tidak lagi menawarkan model berkenaan, yang mana keluaran terakhirnya ialah Yamaha Jupiter RC model tahun 2017. Berdasarkan gambar-gambar yang masih ada dalam simpanan termasuk gambar brosur, didapati spesifikasi Yamaha Jupiter RC 2017 di pasaran Thailand adalah sama dengan model di pasaran Vietnam.

Apabila dibuat perbandingan dengan model Yamaha Lagenda 115Z 2020 di pasaran Malaysia, ternyata Yamaha Jupiter RC 2017 di pasaran Thailand mempunyai beberapa spesifikasi yang lebih baik. Antaranya ialah dilengkapi cakera brek depan jenis terapung dengan kaliper dua piston, yang menawarkan prestasi pemberhentian yang lebih cekap.

Selain itu ianya juga dilengkapi suspensi belakang berkembar dengan sub-tank, rantai dengan penutup, lampu belakang jenis bersepadu, serta tempat pemijak hadapan yang lebih sporty. Kecuali untuk model Yamaha Lagenda 115Z SRT GP Edition 2020, yang mana ianya turut didatangkan suspensi belakang berkembar dengan sub-tank.

Setakat ini tidak dapat dipastikan sampai bilakah HLYM akan terus menawarkan model Yamaha Lagenda 115Z di pasaran Malaysia. Namun alangkah baiknya jika versi terkini pada masa akan datang turut dilengkapi spesifikasi dan ciri-ciri sama seperti model yang pernah ditawarkan di pasaran Thailand, dan di pasaran Vietnam pada ketika ini.