KTM 200 Duke 2021 diperkenalkan di pasaran Eropah, berwajah baharu dengan enjin bertaraf Euro 5

Salah sebuah model naked keluaran KTM yang ditawarkan di pasaran Malaysia ialah KTM 200 Duke. Bagaimanapun model tersebut masih mengekalkan gaya rekaan dan penampilan terdahulu yang boleh dikatakan bertaraf old school. Di pasaran luar negara termasuk Eropah, model tersebut kini tampil dengan gaya rekaan yang terkini.

KTM 200 Duke 2021 kini tampil serupa seperti mana model KTM 125 Duke, KTM 250 Duke dan KTM 390 Duke, dengan reka bentuk yang lebih tajam, agresif dan pastinya kelihatan lebih moden. Untuk musim 2021, dua skim pilihan warna ditawarkan dengan kemasan warna jingga dan putih, dan enjinnya kini mematuhi piawaian emisi Euro 5.

KTM 200 Duke 2021 dikuasakan enjin 199.5cc (single-cylinder, DOCH, liquid-cooled) dengan sistem suntikan bahan api elektronik, dan digandingkan dengan transmisi enam kelajuan. Jumlah keluaran kuasa maksimumnya ialah 25.4hp (19kW) dengan daya tork maksimum 19.5Nm. Tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti penuh 13.4 liter.

Mempunyai perwatakan dan ciri tunggangan yang lincah dan mudah dikendalikan, fork depan WP APEX 43 mm jenis upside-down telah memainkan peranannya, di samping suspensi monoshock WP APEX dengan ciri pelarasan prabeban. Sistem brek cakera 300 mm (depan) dan 230 mm (belakang) pula lengkap dengan ABS Single Channel.

Untuk pelbagai maklumat berguna sewaktu tunggangan, KTM 200 Duke 2021 turut dilengkapi panel instrumen digital LCD, di samping lampu depan dengan ciri DRL yang  mempunyai nyalaan terang, rim aloi 17 inci dengan tayar depan selebar 110 mm dan belakang 150 mm, serta berat kering keseluruhannya dalam lingkungan hanya 140 kg.