Berdasarkan maklumat yang diperolehi dari internet, motosikal kapcai Zongshen Face Off ini diperkenalkan sejak tahun 2014. Model tersebut dikeluarkan dalam empat varian kesemuanya iaitu Super Valued Type, Standard Type, Sports Type dan Racing Type.
Varian Racing Type merupakan varian teratas dan ianya dilengkapi spesifikasi dan ciri-ciri menarik yang serba lengkap. Antaranya ialah enjin bersesaran 125cc dengan kuasa maksimum 7.8hp @ 8,000rpm dan tork maksimum 8.5Nm @ 6,000rpm, tempat duduk dengan skim dua tona warna dan panel meter digital LCD sepenuhnya.
Zongshen Face Off varian Racing Type dan Sports Type dilengkapi sistem brek cakera di bahagian roda depan, manakala varian Super Valued Type dan Standard Type hanya dilengkapi brek jenis dram di kedua-dua bahagian roda depan dan belakang. Kesemua varian dilengkapi tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 4.2 liter.
Untuk pasaran Malaysia, Zongshen Face Off turut ditawarkan oleh Modenas, paling terkini melalui model naik taraf terbaharu Modenas Kriss 110 2021 yang kini dilengkapi beberapa ciri baharu yang menarik. Antaranya brek cakera depan, panel meter dengan ciri baharu dan soket pengecas USB untuk kemudahan mengecas telefon bimbit.