Salah sebuah model motosikal keluaran Yamaha yang mendapat perhatian ramai pada tahun 2016 yang lalu ialah Yamaha M-Slaz. Model tersebut dilancarkan di pasaran Thailand, kemudiannya di pasaran Indonesia, Vietnam, Filipina dan Singapura. Sayang sekali model tersebut tidak dibawa masuk secara rasmi untuk pasaran Malaysia.
Untuk pasaran China, model tersebut juga tidak pernah ditawarkan, namun syarikat pengeluar motosikal di negara tersebut sentiasa ada penyelesaiannya. Caranya ialah dengan mengeluarkan model yang hampir serupa 100 peratus. Model tersebut mirip model Yamaha M-Slaz, namun nama sebenarnya tidak dapat dipastikan dengan jelas.
Lebih menarik ialah Yamaha M-Slaz buatan China ini dilengkapi enjin bersesaran 223cc dengan kuasa maksimum 16hp @ 8,000rpm dan tork maksimum 17Nm @ 6,500rpm. Enjin tersebut dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan. Dilengkapi tangki bahan api 11.2 liter, motosikal street fighter ini mempunyai berat kering hanya 127 kg.
Sama seperti Yamaha M-Slaz yang asli, Yamaha M-Slaz buatan negara China ini turut dilengkapi sistem lampu LED, panel meter digital, fork depan upside-down, suspensi belakang monoshock dan sistem brek cakera depan dan belakang. Sekiranya model ini ditawarkan di mana-mana pasaran luar, pasti ianya akan mendapat sambutan hangat.