Triumph Speed Triple 1200 RS 2021 diperkenalkan, enjin 1,160cc dengan kuasa maksimum 180PS & 125Nm

Triumph secara rasminya memperkenalkan model Speed Triple 1200 RS 2021 serba baharu, dalam dua pilihan warna Matt Silver Ice dan Sapphire Black. Menurut Triumph, hanya satu varian tunggal RS sahaja yang akan ditawarkan, dengan kelengkapan enjin serba baharu bersesaran 1,160cc (liquid-cooled, 12 valve, DOHC, inline 3-cylinder).

Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi enam kelajuan, dibantu oleh sistem assist & slipper clutch dan Triumph Shift Assist up-and-down quickshifter. Kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai angka 180PS @ 10,750rpm dengan tork maksimum 125Nm @ 9,000rpm. Nisbah kuasa kepada berat untuk model berkenaan dikatakan cemerlang, disumbangkan oleh berat keseluruhan motosikal hanya 198 kg sahaja (wet weight).

Triumph Speed Triple 1200 RS seterusnya dilengkapi sistem suspensi berprestasi tinggi daripada Öhlins dengan ciri boleh laras sepenuhnya, untuk kawalan yang lincah, tepat dan dinamik. Melengkapkannya ialah tayar Metzeler RACETEC™ RR dan sistem brek Brembo Stylema, yang mana ianya merupakan kelengkapan premium bertaraf litar.

Teknologi canggih, moden dan pintar yang melengkapi Triumph Speed Triple 1200 RS antaranya merangkumi panel instrumen TFT berukuran 5.0 inci, Optimised Cornering ABS, switchable Optimised Cornering Traction Control (with IMU), 5 mod tunggangan termasuk mod Track, sistem lampu LED baharu yang tersendiri, sistem kunci keyless sepenuhnya dan My Triumph Connectivity System yang merupakan ciri standard.

Selain itu sistem bantuan tunggangan elektronik turut dibantu oleh sistem front-wheel lift control yang dipertingkatkan, dengan sistem cruise control dibekalkan standard untuk keselesaan tunggangan pada jarak jauh. Untuk pasaran UK, Triumph Speed Triple 1200 RS 2021 ditawarkan pada harga sebanyak £15,100, bersamaan nilai RM 83,547.23.

Artikel menarik minggu ini :