Khabar angin pelancaran Honda ADV350 2021, pasaran Thailand bakal jadi destinasi pertama

Model skuter adventure atau ADV seperti Honda ADV150 dan Honda X-ADV telah terbukti berjaya menarik ramai peminat motosikal dan skuter, yang mahukan sebuah model automatik yang serba boleh dan tahan lasak. Antara ciri utama model ADV yang menjadi nilai tambah ialah kemampuannya meredah jalanan off road yang mencabar.

Bagaimanapun Honda ADV150 dan Honda X-ADV yang ditawarkan oleh Honda ketika ini dirasakan masih belum lengkap sepenuhnya, tanpa sebuah lagi model yang berada di tengah-tengahnya. Untuk sesetengah peminat, Honda ADV150 mungkin agak kurang berkuasa, manakala Honda X-ADV dengan enjin 745cc pula agak mahal harganya.

Oleh itu sejak tahun lepas, selepas pelancaran model terbaharu Honda Forza 350 di pasaran Thailand dalam bulan Julai 2020, telah timbul khabar angin yang mengatakan bahawa Honda bakal melancarkan model ADV terbaharu dengan enjin eSP+ dalam sesaran 329.6cc (4-stroke, Single Overhead Camshaft, 4-valve) yang lebih berkuasa.

Enjin tersebut merupakan enjin yang sama melengkapi model skuter maxi Honda Forza 350, yang ketika ini menawarkan kuasa maksimum 28.8hp @ 7,500rpm dengan tork puncak 31.5Nm @ 5,250rpm. Jika ianya menjadi realiti tidak lama lagi, model skuter ADV serba baharu itu mungkin akan dikenali dengan nama Honda ADV350 2021.

Menurut sumber yang belum dapat dipastikan kesahihannya, Honda ADV350 dikatakan bakal dilancarkan terlebih dahulu di pasaran Thailand, sebelum dilancarkan di pasaran-pasaran ASEAN dan pasaran global yang lain termasuk Malaysia. Bagaimanapun untuk pasaran Malaysia, ketibaannya mungkin sedikit terlewat berbanding pasaran yang lain.

Honda ADV350 apabila dilancarkan nanti, ianya dijangka akan menawarkan spesifikasi, teknologi, reka bentuk dan penampilan yang lebih canggih dan sporty berbanding model Honda ADV150. Harganya pula mungkin sedikit tinggi berbanding harga Honda Forza 350 yang ditawarkan di pasaran Thailand ketika ini, iaitu 173,500 THB (RM 23,399.68).

Jika dibandingkan dengan harga Honda X-ADV yang ketika ini dijual di pasaran negara kita dengan harga sekitar RM 63k, pastinya harga yang akan ditawarkan untuk Honda ADV350 jauh lebih rendah. Setakat ini, desas-desus pelancaran Honda ADV350 masih lagi hanyalah bertaraf khabar angin, namun tidak mustahil bakal menjadi kenyataan.