Honda NC750X 2021 diperkenalkan untuk pasaran Jepun, terima kemaskini baharu yang lebih signifikan

Diperkenalkan secara rasmi di pasaran Eropah pada bulan November 2020 yang lepas, model terbaharu Honda NC750X 2021 kini diperkenalkan pula untuk pasaran domestik Jepun. Jualannya bagaimanapun hanya akan bermula pada tarikh 25hb. Februari 2021, dalam pilihan varian MT (Manual Transmission) dan DCT (Dual Clutch Transmission).

Untuk musim 2021, pelbagai perubahan yang lebih signifikan telah diperkenalkan untuk model Honda NC750X. Antara perubahan terbaharu yang dilakukan itu melibatkan gaya rekaan, casis, enjin dan juga sistem elektronik. Ini menjadikan berat keseluruhan model tersebut telah berjaya dikurangkan sehingga 6 kg berbanding model tahun sebelumnya.

Dari segi rekaan, Honda NC750X 2021 kini tampil lebih tajam dan agresif, namun kekal dengan gaya minimalis. Lampu depan, lampu belakang dan lampu penunjuk arah juga telah direka semula, termasuk panel instrumen LCD baharu yang dilengkapi paparan berwarna sepenuhnya. Juga baharu ialah fungsi lampu Emergency Stop Signal (ESS).

Rangka berlian keluli berbentuk tiub yang disemak semula telah menjimatkan berat dan menambah ruang. Ketinggian tempat duduk kini 30 mm lebih rendah kepada hanya 800 mm, yang dicapai melalui pengurangan travel suspensi fork depan Showa Dual Bending Valves dan travel suspensi belakang Pro-Link dengan ciri ‘spring preload adjustable’.

Enjin Honda NC750X 2021 kini telah mematuhi piawaian emisi Euro 5. Enjin bersesaran 745cc (liquid-cooled 4-stroke 8-valve, SOHC parallel 2-cylinder) itu juga kini lebih berkuasa, peningkatan 3kW kepada 43.1kW (57.8hp) @ 6,750rpm dengan tork setinggi 69Nm @ 4,750rpm. Putaran enjin juga kini lebih tinggi kepada paras redline 7,000rpm.

Sistem transmisinya kekal dengan pilihan MT (6-speed Manual Transmission) dan DCT (6-speed Dual Clutch Transmission). Bagi varian MT, ianya kini dilengkapi sistem assist & slipper clutch yang mengurangkan beban operasi sehingga 20 peratus. Varian DCT menawarkan mod Manual dan Auto termasuk ciri Adaptive Clutch Capability Control.

Beralih ke bahagian elektronik enjin, NC750X kini dilengkapi sistem Throttle By Wire dengan tiga mod tunggangan iaitu Sport, Rain dan Standard, termasuk tambahan mod USER yang menawarkan pilihan custom. Honda Selectable Torque Control (HSTC) merupakan ciri standard untuk varian Manual dan DCT, dengan ciri boleh dimatikan.

Untuk lebih perlindungan daripada angin dan cuaca, skrin penghadang angin baharu kini melengkapi NC750X. Antara ciri unik pada model ini ialah ianya dilengkapi ruang kompatmen di bahagian depan yang kebiasaannya ialah tangki minyak. Ruang tersebut kini berkeluasan 23 liter dan mampu memuatkan sebuah topi keledar bermuka penuh.

Aspek keselamatan ditugaskan kepada sistem brek cakera tunggal 320 mm di bahagian depan dengan kaliper dua piston, yang kemudiannya digandingkan dengan brek cakera belakang 240 mm dengan kaliper satu piston. Sistem brek berkenaan dilengkapi ABS dua saluran yang memberikan prestasi dan lebih keyakinan di permukaan basah.

Kawalan dan pengendalian Honda NC750X 2021 disokong oleh rim cast aluminium dan tayar depan dan belakang, yang masing-masing berukuran 120/70-ZR17M/C (58W) dan 160/60-ZR17M/C (69W). Tangki bahan api kekal dengan kapasiti maksimum 14.1 liter, manakala berat baharu yang lebih ringan kini ialah 214 kg (MT) dan 224 kg (DCT).

Untuk pasaran Jepun, tiga pilihan warna ditawarkan untuk Honda NC750X 2021 iaitu Grand Prix Red, Pearl Glare White dan Matte Ballistic Black Metallic. Harga jualan yang ditetapkan bermula dari 924,000 Yen, bersamaan RM 36,030.20 untuk varian MT. Untuk varian DCT, harganya adalah sebanyak 990,000 Yen, bersamaan nilai RM 38,603.79.

Artikel menarik minggu ini :