Honda ADV160 dijangka akan diperkenalkan pada masa akan datang, dilengkapi enjin eSP+ 157cc yang lebih berkuasa

Model skuter terbaharu yang sangat dinanti-nantikan di pasaran Malaysia pada ketika ini ialah Honda ADV150 2021. Menurut sumber terkini, model tersebut akan dilancarkan oleh pengedarnya Boon Siew Honda (BSH) dalam bulan Februari depan, dengan harga asas sekitar RM 14k. Setakat ini BSH masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi.

Sementara kita semua menantikan ketibaan model Honda ADV150, kini telah terdengar laporan mengenai kemungkinan Honda akan menaik taraf model tersebut dengan enjin yang lebih canggih dan lebih berprestasi. Enjin yang dimaksudkan itu ialah enjin eSP+ bersesaran 157cc yang ketika ini melengkapi model terbaharu Honda PCX160 2021.

Sifirnya sangat mudah. Sebelum ini Honda ADV150 dan Honda PCX150 dilengkapi enjin yang sama, jadi apabila Honda PCX160 dilancarkan, ianya juga bermakna Honda ADV160 juga akan dilancarkan. Pelancaran Honda ADV160 mungkin tidak akan berlaku pada tahun ini, sebaliknya model tersebut dijangka akan muncul pada tahun 2022.

Apabila dilancarkan nanti, Honda ADV160 akan mempunyai jumlah prestasi enjin yang sama dengan model Honda PCX160, yang kini berada pada paras maksimum 15.8PS @ 8,500rpm dengan tork puncak 15Nm @ 6,500rpm. Bagaimanapun, enjin eSP+ 157cc pada Honda ADV160 mungkin akan ditala semula bagi meningkatkan lagi prestasinya.

Dari segi reka bentuk dan penampilan, Honda ADV160 juga diramalkan akan mengikuti jejak langkah Honda PCX160 yang kini hadir dengan kemaskini ‘facelift’ terbaharu yang kelihatan lebih segar dan lebih moden. Ciri-ciri baharu yang dipertingkatkan juga akan turut diperkenalkan, malah mungkin lebih canggih berbanding model Honda ADV150.

Jika berdasarkan pelancaran Honda ADV150 sebelum ini, Honda ADV160 semestinya akan dilancarkan terlebih dahulu di pasaran Indonesia, Filipina, Thailand, Jepun, dan kemudiannya akan diikuti oleh pasaran USA, Australia, Singapura, Kemboja, Brazil dan beberapa pasaran global yang lain. Pasaran Malaysia mungkin akan sedikit terlewat.

Model Honda ADV160 setakat ini masih lagi sekadar laporan awal, tanpa ada sebarang pengesahan rasmi daripada pihak Honda. Namun seperti mana khabar angin mengenai pelancaran Honda PCX160 sebelum ini, pelancaran generasi terbaharu Honda ADV150 yang dinaik taraf kepada Honda ADV160 didapati mempunyai asas yang sangat kukuh.

Artikel menarik minggu ini :