Haojue DR250 2021 (Suzuki GSX-S250) dilancarkan di pasaran China, harga bersamaan RM 18,565.78

Pada bulan Disember 2020 yang lepas, Haojue telah melancarkan model terbaharu Haojue DR250 2021 untuk pasaran China. Didatangkan dalam tiga pilihan warna iaitu hitam, merah dan putih, harga jualan yang ditawarkan untuk model naked yang bergaya sporty itu ialah CNY 29,680, bersamaan RM 18,565.78 mengikut kadar semasa.

Haojue DR250 merupakan varian terbaharu dengan enjin yang lebih kecil, di samping model Haojue DR300 yang dilancarkan pada bulan Jun 2020. Ianya mungkin dikenali dengan nama Suzuki GSX-S250, sama seperti model Haojue DR300 yang sebelum ini dikenali dengan nama Suzuki GSX-S300, jika ianya dilancarkan untuk pasaran global.

Haojue DR250 dikuasakan enjin empat lejang dua silinder bersesaran 248cc dengan sistem penyejukan jenis cecair, dan kemudiannya dipadankan dengan transmisi enam kelajuan. Enjin yang turut dilengkapi sistem suntikan bahan api EFI itu menghasilkan kuasa maksimum 24.7hp (18.4kW) @ 8,000rpm dan tork puncak 23.4Nm @ 6,500rpm.

Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi Haojue DR250 ini termasuklah paparan meter digital LCD dengan pelbagai info, handlebar jenis clip-on, sistem lampu LED, fork depan upside-down dan suspensi belakang monoshock boleh laras daripada KYB, sistem brek cakera dengan ABS dua saluran daripada Bosch dan penggunaan tayar yang berkualiti.

Haojue DR250 turut dilengkapi kemudahan port pengecas USB, sistem kunci yang lebih selamat dengan cip cegah kecurian, ketinggian tempat duduk 785 mm, tangki bahan api dengan isian maksimum 16 liter dan berat hanya 177 kg. Semestinya menarik sekiranya Haojue DR250 2021 ini dilancarkan di pasaran ASEAN sebagai Suzuki GSX-S250.

Artikel menarik minggu ini :