Benda Asura 400 tampil berani dengan gaya rekaan unik, dilengkapi dengan pelbagai teknologi moden

Pada tahun 2019 yang lepas, Benda Motorcycle dengan rasminya melancarkan sebuah model naked street fighter terbaharu untuk pasaran China. Hadir dengan gaya rekaan yang sangat unik, dan mungkin juga pelik untuk sesetengah orang, Benda Asura 400 pada masa yang sama turut dilengkapi dengan pelbagai teknologi moden dan terkini.

Enjinnya didatangkan dalam sesaran 389cc dengan konfigurasi dua silinder bersama-sama sistem penyejukan jenis cecair, serta dilengkapi transmisi enam kelajuan. Jumlah kuasa yang terhasil mencapai 36.2hp (27kW) @ 9,500rpm dengan tork puncak 32Nm @ 8,000rpm. Tangki bahan apinya pula hadir dengan kapasiti maksimum 16 liter. Benda Asura 400 dikatakan mampu mencatatkan kelajuan maksimum sehingga 160 km/j.

Walaupun mempunyai penampilan yang agak di luar kebiasaan, Benda Asura 400 tetap menawarkan spesifikasi dan ciri-ciri yang bertaraf moden dan terkini. Antaranya seperti sistem lampu LED, panel instrumen digital TFT, fork depan jenis terbalik dan suspensi belakang monoshock (kedua-duanya boleh dilaraskan), penapis udara berbentuk bulat berwarna biru, lengan ayun single-sided yang canggih dan rekaan rim yang menawan.

Sistem brek depannya menempatkan cakera berkembar dengan kaliper jenis radial, dan bergandingan dengan brek cakera belakang tunggal. Sistem ekzos yang sporty, rekaan tempat duduk yang pendek dan mudguard belakang yang terpasang lebih rendah pada tayar belakang dengan kelengkapan lampu belakang dan lampu signal, menjadikan penampilan keseluruhan Benda Asura 400 ini berada di dalam kelasnya yang tersendiri.

Untuk pasaran China, Benda Asura 400 ditawarkan pada harga sebanyak CNY 27,800 (RM 17,398.37) untuk varian standard dan CNY 29,800 (RM 18,650.05) untuk varian teratas yang dilengkapi dengan sistem brek ABS. Setakat mana yang diketahui, model naked Benda Asura 400 ini hanya ditawarkan di pasaran China sahaja buat masa ini.

Artikel menarik minggu ini :