Adakah Yamaha Y155ZR VVA 2021 merupakan nama sebenar untuk model Yamaha Y15ZR V3?

Yamaha Y15ZR V3 yang merupakan versi Malaysia untuk model Yamaha Exciter 155 VVA 2021 yang dilancarkan di pasaran Vietnam baru-baru ini, mungkin akan menerima nama baharu apabila ianya dilancarkan nanti. Besar kemungkinan nama sebenar yang akan menggantikan nama Yamaha Y15ZR V3 ialah Yamaha Y155ZR VVA 2021.

Setakat ini panggilan nama Yamaha Y15ZR V3 diberikan sendiri oleh peminat model tersebut di negara kita, yang menunjukkan bahawa ianya merupakan generasi ketiga selepas model Yamaha Y15ZR V2. Namun apabila ianya dilengkapi enjin 155cc dengan teknologi VVA, bermakna nama sebenar Yamaha Y155ZR VVA adalah lebih sesuai.

Bagaimanapun ini hanyalah ramalan awal sahaja memandangkan pelancaran rasmi model tersebut dijangka akan berlangsung dalam tempoh beberapa bulan lagi. Mungkin pelancarannya akan berlangsung dalam bulan April atau bulan Jun akan datang. Buat masa ini Yamaha Y155ZR VVA 2021 didapati masih rancak menjalani ujian jalan raya.

Buktinya ialah melalui paparan gambar-gambar spyshot terbaharu yang dirakamkan baru-baru ini. Antara perbezaan yang dapat dikesan berbanding gambar-gambar yang dirakamkan sebelum ini ialah penggunaan mudguard depan berwarna biru dan kuning, memberikan petunjuk bahawa skim pilihan warna biru dan kuning akan ditawarkan.

Namun di sebalik pelbagai kelebihan yang akan ditawarkan oleh Yamaha Y155ZR VVA, masih terdapat kekurangan yang boleh dikatakan agak besar pada model berkenaan. Kekurangan besar yang diperkatakan itu ialah ianya tidak dilengkapi sistem brek ABS, sedangkan model SYM VF3i 185 telah menjadikan brek ABS sebagai ciri standardnya.

Mungkin ada pendapat yang mengatakan sistem brek ABS bukanlah faktor utama yang penting untuk Yamaha Y155ZR VVA, sekurang-kurangnya buat masa ini, namun ciri keselamatan itu sebenarnya sangat penting kerana kelajuan maksimum model tersebut telah direkodkan mencapai angka 151 km/j, bersamaan 146 km/j untuk kelajuan GPS.

Tambahan pula baru-baru ini telah berlaku kemalangan pertama untuk Yamaha Exciter 155 VVA berwarna merah di Vietnam, menyebabkan timbulnya spekulasi bahawa punca kemalangan tersebut berlaku ialah kerana ketiadaan sistem brek ABS. Bagaimanapun punca sebenar berlakunya kemalangan itu masih lagi belum diketahui dengan jelas.

Seperkara lagi untuk peminat tegar Yamaha yang pastinya tidak sabar-sabar untuk memiliki Yamaha Y155ZR VVA 2021, perlu diingatkan bahawa harga jualan yang akan ditetapkan nanti dijangkakan lebih tinggi berbanding harga Yamaha Y15ZR V2. Mungkin akan mencapai paras RM 10k, belum termasuk harga jualan rasmi di kedai motosikal.

Sumber gambar : Yamaha Y155ZR V3 VVA Community Malaysia & Thethao247.vn