Model naked CFMOTO 250NK telah diperkenalkan untuk pasaran Malaysia sejak awal tahun 2019 yang lalu. Ketika itu hanya dua varian ditawarkan iaitu Standard Non-ABS dan SE ABS, dan kemudiannya pada penghujung tahun 2019, versi 30th Anniversary Edition yang dikeluarkan dalam jumlah terhad (Limited Edition) pula diperkenalkan.
Bagi model CFMOTO 250NK ABS dan LE, kedua-duanya dilengkapi sistem brek ABS dan panel meter digital TFT-LCD dengan ciri dua latar belakang yang boleh ditukarkan. Untuk model STD, ianya tidak dilengkapi sistem brek ABS, manakala panel meter yang melengkapinya hanyalah paparan digital LCD monokrom (sumber Paultan.org).
CFMOTO 250NK memiliki enjin yang bersesaran 249cc (single cylinder, 4-stroke, liquid cooled, vertical type, 4-value, DOHC, balance shaft) dan dipadankan dengan transmisi enam kelajuan yang lancar. Enjin dengan piawaian emisi Euro 4 itu menawarkan kuasa maksimum 26.5PS @ 9,200rpm bersama-sama tork maksimum 22Nm @ 7,300rpm.
Sistem suspensi CFMOTO 250NK terdiri daripada fork depan jenis USD (upside-down), yang kemudiannya digandingkan dengan suspensi belakang tunggal dengan ciri boleh laras prabeban. Sistem brek cakera seterusnya melengkapi roda depan dan belakang, dengan kehadiran teknologi ABS Dual Channel untuk kedua-dua varian ABS dan LE.
Spesifikasi lain untuk CFMOTO 250NK termasuklah sistem lampu LED, tangki bahan api 12.5 liter, ketinggian tempat duduk 795 mm dan berat 151 kg (curb weight). Melalui maklumat dalam bulan Disember 2020 yang lepas, ketiga-tiga varian CFMOTO 250NK ditawarkan pada harga RM12,800 (STD), RM13,800 (SE) dan RM15,800 (LE).