Honda CBR650R 2021 dilancarkan di pasaran Thailand, harga bersamaan RM 43,511.31

Honda CBR650R 2021 buat pertama kalinya diperkenalkan di pasaran Eropah pada 01hb. Oktober 2020 yang lalu, dan kemudiannya diperkenalkan pula di pasaran Jepun pada tarikh 11hb. Disember 2020. Kini pasaran Thailand turut menerima kehadiran model tersebut, dengan tanda harga 324,300 THB (bersamaan RM 43,511.31).

Bagaimanapun untuk pasaran Thailand, selain daripada pilihan warna Grand Prix Red dan Matt Gunpowder Black Metallic, model berkenaan turut ditawarkan dalam satu lagi pilihan warna yang boleh dikatakan cukup menarik iaitu Pearl Smoky Gray. Diharapkan pasaran Malaysia juga akan turut menerima pilihan warna tersebut tidak lama lagi.

Untuk musim 2021, Honda CBR650R bukan hanya sekadar menerima kemaskini warna terbaharu, malah turut menerima beberapa naik taraf yang lain. Paling menonjol sekali ialah model tersebut kini dilengkapi fork depan jenis terbalik (upside-down fork) bertaraf premium iaitu Showa Separate Function front Fork Big Piston (SFF-BP) 41 mm.

Penambahbaikan lain yang diterima oleh Honda CBR650R 2021 termasuklah tahap penglihatan instrumen digital LCD yang dipertingkatkan, reflektor lampu depan baharu dan soket pengecas USB jenis Type-C di bawah tempat duduk. Seterusnya panel sisi baharu dan pemegang nombor plat baharu merupakan perubahan kosmetik kecil.

Di bahagian enjin, ianya kekal dalam sesaran 649cc (liquid-cooled, 4-stroke, 16-valve, DOHC inline-4 cylinder) bersama-sama teknologi PGM-FI dan transmisi enam kelajuan, dan kini telah patuh piawaian Euro 5 yang lebih mesra alam. Jumlah kuasa maksimum berada pada paras 93.8hp @ 12,000rpm dengan tork puncak 63Nm @ 8,500rpm.

Spesifikasi teknikal lain masih sama seperti model tahun sebelumnya, antaranya ialah HSTC, ESS, lampu depan dan belakang LED, sistem brek ABS dua saluran dengan cakera depan berkembar 310 mm, cakera belakang tunggal 240 mm, tayar depan dan belakang dalam siri 120/70-ZR17 dan 180/55-ZR17, serta tangki bahan api 15.4 liter.

Artikel menarik minggu ini :