FKM FK3GP 2021 dilancarkan di pasaran Eropah, dilengkapi lengan ayun aluminium jenis sebelah

FK Motors atau FKM merupakan jenama pengeluar motosikal yang berasal dari China. Salah satu model keluaran mereka yang mendapat perhatian sejak tahun 2015 yang lalu ialah FKM FK3GP yang ketika itu tampil mengejutkan dengan ciri-ciri moden seperti fork depan USD, kaliper brek radial dan lengan ayun aluminium jenis sebelah.

Bagaimanapun model produksi sebenar FKM FK3GP baru saja dilancarkan di negara China pada bulan November 2020 yang lalu, selepas 5 tahun kemunculannya sebagai model konsep. FKM FK3GP dikatakan untuk pasaran luar negara, manakala pasaran domestik China akan menerima model FKM FK25GP dengan enjin lebih kecil 250cc.

Ketika ini FKM FK3GP 2021 telah dilancarkan secara rasmi di beberapa buah negara di pasaran Eropah, dalam dua pilihan warna menarik iaitu Black / Blue dan Black / Red. Enjinnya yang bersesaran 292.4cc (single cylinder, 4-stroke, liquid cooled) mempunyai kuasa maksimum 29.1PS @ 8,750rpm dengan tork maksimum 25.3Nm @ 7,250rpm.

Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi FKM FK3GP ini termasuklah reka bentuknya yang sporty dan aerodinamik, sistem lampu LED, fork depan USD, sistem brek depan jenis kaliper radial dengan sistem brek ABS dual-channel, lengan ayun aluminium jenis sebelah (single sided aluminium swing arm) dan panel meter digital TFT 5.0 inci.

Selain itu FKM FK3GP ini juga dilengkapi teknologi canggih CNC (Computer Numeric Control) dengan dua tahap pelarasan untuk sesi tunggangan di litar atau tunggangan di jalan raya biasa. Tangki bahan apinya pula mempunyai kapasiti penuh 17 liter yang boleh dikatakan cukup luas, sementara berat jentera sport bike sporty ini hanya 166 kg.

Kelajuan maksimum FKM FK3GP ini tidak didedahkan di dalam brosur rasmi, namun berdasarkan ujian yang dijalankan di China, angka kelajuan 130 km/j dikatakan sangat mudah dicapai. Harga untuk pasaran Eropah masih belum diumumkan, namun untuk pasaran China, ianya ditawarkan sebanyak 19,980 CNY (bersamaan RM 12,457.21).

Artikel menarik minggu ini :