Benda Motorcycle merupakan satu lagi jenama pengeluar motosikal dari negara China. Salah sebuah model yang ditawarkan oleh syarikat tersebut ialah Benda Fox 125, yang ketika ini turut ditawarkan di pasaran negara Eropah iaitu Sepanyol dan Portugal.
Benda Fox 125 berada dalam segmen motosikal Bobber dan dikuasakan enjin 125cc dengan dua silinder. Enjin tersebut dilengkapi sistem suntikan bahan api elektronik dan dipadankan dengan sistem transmisi lima kelajuan dan rantai sebagai pemacu akhir.
Benda Fox 125 menggunakan fork depan depan jenis terbalik bersama-sama suspensi belakang jenis berkembar. Aspek keselamatan motosikal tersebut diperkemaskan lagi oleh penggunaan brek cakera tunggal di bahagian roda depan dan belakangnya.
Tidak banyak maklumat mengenai model Benda Fox 125 ini yang dipaparkan di dalam laman sesawang Benda Motorcycle, namun ciri-cirinya yang lain yang dapat dilihat adalah seperti panel meter digital berbentuk bulat dan lampu depan LED dan DRL.
Berdasarkan maklumat yang diperolehi hasil carian di dalam internet, Benda Fox 125 ini ditawarkan pada harga sebanyak 3,999 Euro, bersamaan RM 19,498.68. Juga terdapat varian Benda Fox 300 dengan enjin 300cc dua silinder dan transmisi enam kelajuan.