Keeway RCS 125 di pasaran Filipina dilengkapi enjin 125cc, serta tampil sporty dengan gaya tersendiri

Jenama pengeluar motosikal Keeway antara yang dikenali di pasaran Malaysia, dengan edarannya kini berada di bawah syarikat MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. Ketika ini Keeway hanya menawarkan tiga buah model motosikal untuk pasaran tempatan iaitu Keeway Cafe Racer 152, Keeway K-Light 2021 dan Keeway Patagonian Eagle 250.

Jadi bagi menambahkan lagi model keluarannya untuk pasaran Malaysia pada masa akan datang, mungkin selepas ini Keeway boleh menawarkan sebuah model kapcai yang sporty dan mempunyai gaya penampilan yang tersendiri, seperti mana model Keeway RCS 125 yang ketika ini dijual di pasaran Filipina sejak tahun 2018 yang lalu.

Keeway RCS 125 dikuasakan enjin bersesaran 124.8cc (1-cylinder, 4-stroke, 2-valve, air-cooled, SOHC) dengan sistem penyampaian bahan api karburator, kotak gear empat kelajuan dan turut dilengkapi sistem penghidup jenis tendang dan elektrik. Kuasa yang dihasilkan mencapai 8.83PS @ 7,000rpm dan tork maksimum 9.5Nm @ 5,500rpm.

Sistem suspensi Keeway RCS 125 merupakan gandingan di antara fork depan jenis teleskopik dan suspensi belakang jenis berkembar, sementara sistem breknya terdiri daripada brek cakera depan dan brek dram di bahagian belakang. Rim aloi yang sporty kemudiannya dibalut tayar berukuran 70/90-R17 (depan) dan 80/90-R17 (belakang).

Keeway RCS 125 seterusnya dilengkapi tangki bahan api dengan isian penuh 3.9 liter, ketinggian tempat duduk 785 mm dan berat hanya 99 kg (unladen weight). Tidak pasti setakat mana penerimaan pengguna motosikal di Malaysia sekiranya model ini dibawa masuk, namun sekurang-kurangnya kita semua akan mempunyai lebih banyak pilihan.

Artikel menarik minggu ini :