Untuk pasaran Indonesia, Yamaha hari ini dengan rasminya memperkenalkan Yamaha MX King 150 2021 yang kini telah menerima kemaskini warna terbaharu. Tiga pilihan warna itu ialah Sporty Black Yellow, Aggressive Red dan Active Blue, manakala harga yang ditawarkan adalah sebanyak Rp. 24,075,000, bersamaan RM 6,899.77 sahaja.
Aspek spesifikasi teknikal masih sama seperti model tahun sebelumnya, iaitu dilengkapi enjin bersesaran 150cc (liquid-cooled, 4-stroke SOHC, single cylinder), transmisi lima kelajuan, di samping sistem penghidup jenis elektrik dan tendang. Kuasa maksimumnya berada pada tahap 15.15hp @ 8,500rpm dengan tork maksimum 13.8Nm @ 7,000rpm.
Setakat ini pasaran Vietnam telah menerima kehadiran model Yamaha Exciter 155 VVA 2021 serba baharu, yang mana ianya mungkin akan dikenali dengan nama Yamaha MX King 155 VVA 2021 apabila dilancarkan untuk pasaran Indonesia tidak lama lagi. Cuma buat masa ini belum ada sebarang maklumat bilakah model tersebut akan dilancarkan.