Suzuki GSX-S125 ABS 2021 terima kemaskini warna baharu untuk pasaran domestik Jepun

Selain daripada model sport bike full fairing Suzuki GSX-R125 ABS 2021, pasaran domestik Jepun turut menerima model naked Suzuki GSX-S125 ABS 2021 yang akan memulakan jualannya pada tarikh 18hb. Januari 2021. Perubahan yang dilakukan untuk model berkenaan juga hanya melibatkan kemaskini skim warna terbaharu sahaja.

Untuk musim 2021, dua pilihan skim warna terbaharu yang ditawarkan ialah Triton Blue Metallic dan Titan Black. Aspek teknikal pula tiada sebarang perubahan, di samping masih mengekalkan ciri-ciri seperti pecutan yang berkuasa, pengendalian yang ringan dan lincah, posisi tunggangan yang tegak dan penggunaan bahan api yang cekap.

Suzuki GSX-S125 ABS 2021 dilengkapi enjin bersesaran 124cc (liquid-cooled, 4-stroke, single-cylinder, DOHC, 4-valve) yang dipadankan transmisi enam kelajuan, dengan keluaran kuasa maksimum 15PS @ 10,000rpm dan tork maksimum 11Nm @ 8,000rpm. Enjin tersebut adalah sama seperti yang dimiliki oleh model Suzuki GSX-R125 ABS.

Ciri-ciri standard yang melengkapi model naked itu juga adalah sama iaitu lampu depan dan belakang LED, panel meter digital dengan paparan RPM shift light dan posisi gear, sistem penghidup Suzuki Easy Start System, sistem kunci Shuttered Key, sistem brek ABS dual-channel dengan cakera brek jenis petal dan kapasiti tangki bahan api 11 liter.

Roda depan dan belakang Suzuki GSX-S125 ABS 2021 masing-masing didatangkan dalam saiz 90/80-17M/C 46S dan 130/70-17M/C 62S, dan menggunakan rim aluminium tetuang 10 bilah yang ringan dengan gandingan tayar Dunlop D102. Ketinggian tempat duduk berada pada paras 785 mm, manakala berat motosikal hanya 133 kg sahaja.

Untuk pasaran domestik Jepun, Suzuki GSX-S125 ABS 2021 ditawarkan pada harga sebanyak 382,800 Yen, bersamaan RM 14,912.83 mengikut kadar semasa. Jentera naked berkenaan merupakan produk pemasangan dari kilang Suzuki yang terletak di Indonesia, dan dibawa masuk ke pasaran Jepun oleh Suzuki Motor Corporation.


Artikel Popular Minggu Ini :

Katalog elektronik Yamaha Exciter 155 VVA 2021 (Vietnam), plus video model pertama masuk ke pasaran Malaysia

Honda RS160R 2021 untuk pasaran Malaysia, adakah ianya versi Honda Winner X 160 2021 di pasaran Vietnam?