Suzuki pada kelmarin telah mengumumkan model Suzuki GSX-R125 ABS 2021 akan menerima kemaskini warna baharu untuk pasaran domestik Jepun, bermula tarikh 18hb. Januari 2021. Pilihan warna terbaharu yang ditawarkan kali ini ialah Stronger Red / Titan Black, di samping dua warna terdahulu Triton Blue Metallic dan Titan Black.
Untuk pasaran domestik Jepun, Suzuki GSX-R125 ABS 2021 ditawarkan pada harga sebanyak 415,800 Yen, bersamaan RM 16,242.26 mengikut kadar semasa. Model sport bike tersebut merupakan produk pemasangan dari kilang Suzuki yang terletak di negara Indonesia, dan dibawa masuk ke pasaran Jepun oleh Suzuki Motor Corporation.
Suzuki GSX-R125 ABS 2021 masih mengekalkan spesifikasi sama seperti model tahun sebelumnya. Ianya dikuasakan enjin bersesaran 124cc (liquid-cooled, 4-stroke, single-cylinder, DOHC, 4-valve) yang dipadankan transmisi enam kelajuan, dengan keluaran kuasa maksimum 15PS @ 10,000rpm dan tork maksimum 11Nm @ 8,000rpm.
Ciri-ciri standard yang melengkapi model berkenaan termasuklah sistem lampu depan dan belakang LED, panel meter digital dengan paparan RPM shift light dan posisi gear, sistem penghidup Suzuki Easy Start System, sistem kunci Shuttered Key, sistem brek ABS dual-channel dengan cakera brek jenis petal dan tangki bahan api 11 liter.
Roda depan dan belakang Suzuki GSX-R125 ABS 2021 masing-masing didatangkan dalam saiz 90/80-17M/C 46S dan 130/70-17M/C 62S, dan menggunakan rim aluminium tetuang 10 bilah yang ringan dengan gandingan tayar Dunlop D102. Ketinggian tempat duduk berada pada paras 785 mm, manakala berat motosikal hanya 134 kg sahaja.