Honda RS160R 2021 untuk pasaran Malaysia, adakah ianya versi Honda Winner X 160 2021 di pasaran Vietnam?

Honda RS150R V2 2020 (Edisi Repsol)

Baru-baru ini berdasarkan sumber dari Vietnam, telah tersebar spekulasi mengenai kemungkinan Honda sedang membangunkan model terbaharu Honda Winner X 160 2021, bagi memberikan saingan semula kepada model Yamaha Exciter 155 VVA 2021. Pelancarannya pula dikatakan mungkin berlangsung dalam suku keempat tahun ini.

Persoalannya ialah seandainya benar Honda Winner X 160 dengan enjin yang lebih besar dan prestasi yang lebih tinggi dilancarkan di pasaran Vietnam nanti, adakah ianya akan turut memberikan kesan kepada pasaran motosikal Honda di Malaysia? Ini kerana model Honda Winner X sehingga kini masih belum dilancarkan di pasaran negara kita.

Namun begitu harapan untuk melihat model terbaharu Honda Winner X 160, atau untuk pasaran Malaysia ianya mungkin akan dikenali dengan nama Honda RS160R 2021, masih tetap ada. Ini kerana model semasa Honda RS150R ketika ini telah lama berada di pasaran tempatan, sejak pelancaran versi pertamanya pada tahun 2016 yang lalu.

Jadi tidak mungkin pihak Boon Siew Honda akan terus menawarkan model yang telah lama berada di pasaran dan telah ketinggalan, sedangkan pesaing-pesaingnya yang lain telah muncul dengan model-model terbaharu yang menawarkan spesifikasi yang lebih moden dan canggih, rekaan yang lebih sporty dan enjin yang lebih berkuasa.

Atau boleh jadi juga Boon Siew Honda akan melancarkan terlebih dahulu model Honda Winner X pada tahun 2021 ini, dan kemudiannya akan diikuti oleh model Honda Winner X 160 pada tahun 2022. Bagaimanapun semua ramalan ini akan berubah sekiranya pada tahun ini Honda RS150R V2 2021 versi kemaskini warna terbaharu dilancarkan.

Honda RS150R V2 model tahun 2020 telah dilancarkan secara rasmi pada awal bulan Januari 2020, bermakna telah setahun ianya berada di pasaran tempatan sehingga kini. Berdasarkan strategi pemasaran Boon Siew Honda, sudah tiba masanya RS150R V2 2021 dilancarkan dengan kemaskini warna dan grafik baharu yang lebih menarik.

Setakat ini kita semua hanya boleh berharap bahawa Boon Siew Honda tidak akan melancarkan Honda RS150R V2 2021 dalam tahun ini, sebaliknya melancarkan model Honda Winner X yang ditunggu-tunggu, dan selepas itu memperkenalkan pula model Honda Winner X 160. Sama-sama kita tunggu perkembangan selanjutnya selepas ini.

Galeri : Honda RS150R V2 2020