Web Analytics
Husqvarna Svartpilen 401 dan Vitpilen 401 2021 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga asas RM 29,800.00 – Arena Motosikal

Arena Motosikal

Informasi Motosikal Terkini

Husqvarna Svartpilen 401 dan Vitpilen 401 2021 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga asas RM 29,800.00

Husqvarna Motorcycles Malaysia baru-baru ini secara rasminya melancarkan model terbaharu Husqvarna Svartpilen 250 2021 untuk pasaran tempatan, pada harga asas sebanyak RM 24,800.00. Untuk anda yang mahukan model lebih berkuasa, pada masa yang sama dua model Husqvarna Svartpilen dan Vitpilen 401 2021 turut dilancarkan.

Husqvarna Svartpilen 401 dan Vitpilen 401 tampil dengan reka bentuk dan spesifikasi yang sama, namun kedua-duanya dibezakan oleh posisi handlebar yang berlainan. Bagi model Svartpilen 401, posisi handlebar berada pada kedudukan yang lebih tinggi berbanding model Vitpilen 401, untuk tunggangan yang lebih tegak dan lebih selesa.

Enjin dan sistem transmisi untuk kedua-dua model berkenaan dikongsikan daripada model KTM 390, oleh itu ianya hadir dalam sesaran 373cc (1-cylinder, 4-stroke engine, liquid cooled) dengan transmisi enam kelajuan dan dilengkapi sistem PASC antihopping clutch. Jumlah kuasa dan tork maksimum yang dihasilkan mencapai 44hp dan 37Nm.

Svartpilen 401 dan Vitpilen 401 seterusnya dilengkapi fork depan USD WP Apex 43 mm (open cartridge forks) bersama-sama suspensi belakang monoshock WP Apex dengan ciri pelarasan pra-beban. Sistem brek ByBre pula hadir dengan cakera depan 300 mm (four-piston radial fixed calliper) dan belakang 230 mm (single-piston floating calliper), yang kemudiannya disempurnakan lagi dengan sistem brek ABS dual-channel.

Beralih ke bahagian roda, kedua-dua model 401 tersebut dilengkapi rim roda tuangan (cast wheels) yang sporty berukuran 17 inci, dengan rim berjejari seperti mana di dalam gambar di bawah boleh didapati sebagai pilihan. Tangki minyak hadir dengan kapasiti maksimum 9.5 liter, sementara ketinggian tempat duduk berada pada paras 835 mm.

Svartpilen 401 dan Vitpilen 401 juga dilengkapi sistem lampu LED sepenuhnya, panel meter digital LCD, kerangka trellis yang kukuh dan ringan yang menyumbang kepada berat kering hanya 152 kg untuk Svartpilen 401 dan 151 kg untuk Vitpilen 401, disertai penampilan unik yang pastinya membuatkan ramai orang akan menoleh memandang.

Untuk pasaran Malaysia, Husqvarna Svartpilen 401 2021 dan Husqvarna Vitpilen 401 2021 kini boleh dimiliki pada harga asas sebanyak RM 29,800.00 (tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan). Untuk anda yang mahukan kelainan terbaharu selain daripada model KTM 390 Duke, mungkin dua model ini adalah jawapannya.

Galeri : Husqvarna Svartpilen 401 2021

Galeri : Husqvarna Vitpilen 401 2021

 
Arena Motosikal © 2023