Honda PCX160 e:HEV 2021 dilancarkan di pasaran Thailand, harga bersamaan RM 14,485.26

Pasaran Thailand baru-baru ini telah menerima kehadiran model skuter Honda PCX160 2021 terbaharu, dalam dua pilihan varian iaitu Standard dan ABS. Selain daripada itu, terdapat sebuah lagi model Honda PCX160 terbaharu yang juga dilancarkan pada hari yang sama iaitu Honda PCX160 e:HEV 2021 yang dilengkapi dengan sistem hibrid.

Sama seperti model Honda PCX160, Honda PCX160 e:HEV turut dikuasakan enjin eSP+ baharu bersesaran 156.93cc (liquid-cooled, 4-stroke, OHC, single-cylinder) yang dilengkapi dengan empat injap, yang kemudiannya digabungkan dengan sistem hibrid. Sumber kuasa untuk sistem hibrid tersebut datangnya daripada pek bateri lithium ion.

Sumber kuasa yang dihasilkan oleh bateri lithium-ion itu akan menambah fungsi kepada pendorong pemacu pada starter AGC (motor), yang bertanggungjawab menghidupkan enjin dan menghasilkan tenaga. Gabungan kuasa daripada enjin dan tenaga tambahan daripada motor elektrik akan meningkatkan lagi prestasi pecutan awal model tersebut.

Honda PCX160 e:HEV seterusnya dilengkapi suis Riding Mode yang menawarkan dua mod tunggangan iaitu Drive Mode untuk tunggangan biasa dan Sport Mode untuk gaya tunggangan yang lebih mengujakan. Selain itu juga terdapat Blank Mode yang boleh digunakan sekiranya penunggang mahu mematikan (turn off) sistem Idling Stop.

Antara ciri-ciri yang melengkapi Honda PCX160 e:HEV yang kekal sama dengan model Honda PCX160 termasuklah sistem Honda Smart Key, Honda Smart Controller, sistem lampu LED sepenuhnya, panel instrumen digital, soket pengecas USB Type-C, sistem brek cakera depan dengan ABS dan teknologi Honda Selectable Torque Control.

Bagaimanapun ruang simpanan barang-barang peribadi di bawah tempat duduk kini mempunyai keluasan yang sedikit kecil, kerana ianya turut menampung ruang untuk bateri lithium-ion. Berat Honda PCX160 e:HEV pula mencapai 136 kg berbanding berat Honda PCX160 yang masing-masing mencapai 129 kg (Standard) dan 131 kg (ABS).

Honda PCX160 e:HEV 2021 untuk pasaran Thailand hanya didatangkan dalam skim pilihan warna tunggal yang menggabungkan warna putih dan biru, sebagai pengenalan bahawa ianya merupakan sebuah model hibrid. Harga yang ditawarkan pula adalah sebanyak 107,500 THB, bersamaan RM 14,485.26 mengikut kadar tukaran semasa.


Artikel Popular Minggu Ini :

Katalog elektronik Yamaha Exciter 155 VVA 2021 (Vietnam), plus video model pertama masuk ke pasaran Malaysia

Honda RS160R 2021 untuk pasaran Malaysia, adakah ianya versi Honda Winner X 160 2021 di pasaran Vietnam?