Web Analytics
Skuter Honda Vision 110 2021 dilancarkan di pasaran Eropah, kini hadir dengan beberapa peningkatan baharu – Arena Motosikal

Arena Motosikal

Informasi Motosikal Terkini

Skuter Honda Vision 110 2021 dilancarkan di pasaran Eropah, kini hadir dengan beberapa peningkatan baharu

Pada pertengahan Disember 2020 yang lepas, Honda secara rasminya melancarkan model skuter terbaharu Honda Vision 110 2021 untuk pasaran Eropah. Model tersebut buat pertama kalinya diperkenalkan di pasaran Eropah sejak tahun 2012, dan kini untuk model tahun 2021, ianya telah menerima beberapa peningkatan baharu dan terkini.

Antaranya ialah penampilan baharu yang lebih segar dan kontemporari, didatangkan bersama-sama kerangka baharu Smart Architecture Frame (eSAF) yang ringan dengan rekaan terkini, enjin ‘enhanced Smart Power (eSP)’ yang kini 5% lebih menjimatkan penggunaan petrol, dan dilengkapi ciri baharu Smart Key dan panel meter digital LCD.

Honda Vision 110 2021 juga mengekalkan fungsi Idling Stop yang sekian lama popular, ruang simpanan barang-barang di bawah tempat duduk seluas 17.7 liter dan lantai rata yang praktikal. Untuk musim 2021, empat pilihan warna ditawarkan iaitu Candy Noble Red, Pearl Jasmine White, Poseidon Black Metallic dan Mat Galaxy Black Metallic.

Beralih ke bahagian enjin ‘enhanced Smart Power’ (eSP) yang bersesaran 109.5cc (Air-cooled, 4-stroke, SOHC, single, 2 valve), dengan kelengkapan sistem suntikan bahan api elektronik PGM-FI dan transmisi automatik CVT, kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai 8.7PS (6.4kW) @ 7,500rpm dengan tork maksimum 9.0Nm @ 5,750rpm.

Menurut Honda, tahap penggunaan bahan api kini berada paras 54.5km/liter (WMTC mode). Dengan tangki bahan api yang mempunyai kapasiti sehingga 4.9 liter dan berat hanya 100 kg (kerb weight), jarak perjalanan yang boleh dicapai adalah lebih 260 km. Enjin tersebut juga kini lebih bersih dan telah mematuhi piawaian emisi Euro 5.

Honda Vision 110 2021 juga menawarkan tahap pengendalian yang cemerlang, selesa dan stabil, yang mana ianya disumbangkan oleh kerangka baharu Smart Architecture Frame (eSAF) yang canggih dan ringan, di samping penggunaan sistem suspensi yang terdiri daripada fork depan teleskopik dan penyerap hentak belakang yang kukuh.

Roda depan dan belakang Honda Vision 110 2021 masing-masing didatangkan dengan ukuran 80/90-R16 dan 90/90-R14, yang kemudiannya dipasangkan sistem brek depan jenis cakera dengan sistem brek belakang jenis dram. Ciri keselamatan model skuter tersebut seterusnya dipertingkatkan oleh teknologi Combined Braking System (CBS).

 
Arena Motosikal © 2023