Web Analytics
Model terbaharu Benelli 752S dikhabarkan masuk ke pasaran Malaysia pada bulan Januari 2021 ini – Arena Motosikal

Arena Motosikal

Informasi Motosikal Terkini

Model terbaharu Benelli 752S dikhabarkan masuk ke pasaran Malaysia pada bulan Januari 2021 ini

Sejak tahun 2018, model terbaharu Benelli 752S telah diperkatakan bakal dilancarkan di pasaran Malaysia. Namun begitu sehingga berlabuhnya tirai tahun 2020 dan tibanya tahun baru 2021, model tersebut masih juga belum dilancarkan. Sehinggalah baru-baru ini berita mengenai pelancaran model tersebut untuk pasaran Malaysia muncul lagi.

Menurut maklumat daripada laman Facebook ICITY Motorworld Sdn. Bhd. baru-baru ini, Benelli 752S 2021 terbaharu dikhabarkan bakal tiba di pasaran Malaysia secara rasmi dalam bulan Januari 2021 ini, namun tarikh sebenar pelancarannya belum dapat dipastikan. Lebih menarik, harganya dikatakan berada di bawah paras RM 40k sahaja.

Benelli 752S merupakan sebuah model naked atau streetfighter dengan gaya rekaan sporty dan gagah. Jentera tersebut dikuasakan enjin dua silinder dengan sejukan cecair bersesaran 754cc, yang kemudiannya dipadankan kotak gear enam kelajuan. Janaan kuasa yang terhasil mencapai 76.2hp @ 8,500rpm dengan tork 67Nm @ 6,500rpm.

Berdasarkan maklumat terdahulu, Benelli 752S dilengkapi fork depan daripada jenama Marzocchi jenis terbalik (upside-down) dengan diameter 50mm, manakala ukuran travel suspensi depan keseluruhannya mencapai 130 mm. Di belakangnya ialah lengan ayun yang bergandingan dengan suspensi monoshock boleh laras, dengan travel 60 mm.

Aspek keselamatannya disempurnakan oleh sistem brek Brembo dengan dua cakera berkembar separuh terapung 320 mm dan kaliper empat piston, sementara cakera 260 mm di bahagian roda belakangnya dilengkapi kaliper terapung dua piston. Tayar depan dan belakangnya berukuran 120/70-17 dan 180/55-17, manakala beratnya berada pada angka 226 kg. Kapasiti maksimum tangki bahan api Benelli 752S ialah 14.5 liter.

Empat pilihan warna dijangka akan ditawarkan di pasaran Malaysia seperti mana yang boleh dilihat dalam galeri di bawah. Jika benar Benelli 752S 2021 ini akan dilancarkan dengan tawaran harga di bawah RM 40k, ianya pasti merupakan suatu berita gembira kepada ramai peminatnya. Apa pun, sama-sama kita tunggu pelancarannya nanti.

 
Arena Motosikal © 2023